Ahad, 18 Jun 2017 | 12:11am

Razif mahu kerah kudrat di Perancis

PUTRAJAYA: Penolong Kanan Pengarah Kastam, Razif Yahya, bakal mengharumkan nama Malaysia selepas layak secara merit untuk menyertai acara Ultra Maraton atau larian lasak jarak jauh melebihi 100 kilometer (km), Ultra-Trail du Mont Blanc (UTMB), Perancis, September depan.

Razif, 45, berkata dia amat gembira dan terharu kerana dapat menyertai acara larian gunung paling berprestij di dunia yang sememangnya menjadi impiannya sejak mula berlari pada 2010.

Justeru, Razif kini sedang giat berlatih bagi meningkatkan tahap ketahanan fizikal dan mental ketika menyertai larian gunung UTMB nanti.

Sebagai persiapan awal, Razif turut menyertai larian gunung Ultra-Trail Australia sejauh 100km dalam cuaca sejuk dan hujan lebat.

Razif menegaskan dia sendiri biasanya meluangkan masa enam hari seminggu untuk berlari sejauh 10 hingga 20km sehari atau keseluruhan lebih 100km seminggu bagi meningkat stamina terutama menjelang kejohanan tertentu disertainya.

RAZIF ketika bertanding di Ultra-Trail Australia, baru-baru ini. - Foto ihsan pembaca
RAZIF ketika bertanding di Ultra-Trail Australia, baru-baru ini. - Foto ihsan pembaca

PENGALAMAN Razif ketika bertanding di Ultra-Trail Australia akan digunakan apabila bertanding di Perancis. - Foto ihsan pembaca
PENGALAMAN Razif ketika bertanding di Ultra-Trail Australia akan digunakan apabila bertanding di Perancis. - Foto ihsan pembaca

Ini penting kerana Razif juga mempunyai impian lain iaitu menyertai kejohanan larian lasak denai yang terkemuka dan paling tua di dunia, iaitu pertandingan 'Western States Endurance Run 100 Miles' di California, Amerika Syarikat (AS) pada tahun depan.

Untuk layak menyertai pertandingan itu, pelari perlu melengkapkan satu larian di pusingan 'kelayakan' dalam masa ditetapkan.

Tamat cabaran ketika suhu sejuk

Oleh itu, Razif boleh menarik nafas lega kerana Ultra-Trail Australia adalah satu daripada pertandingan kelayakan untuk menyertai kejohanan "Western States Endurance Run 100 Miles" dan masa yang ditetapkan adalah di bawah 19 jam.

Bagaimanapun, Razif berjaya menamatkan larian 100km di Ultra-Trail Australia dalam masa 17:00 jam, sekali gus melayakkan beliau untuk menyertai undian bagi pertandingan "Western States Endurance Run 100 Miles" pada 2018.

"Saya amat gembira kerana dapat menamatkan larian 100km dengan cabaran cuaca yang sejuk 6 darjah Celsius dan keadaan hujan yang menyebabkan trek licin dan basah.

RAZIF berlatih untuk bertanding dalam acara lasak Ultra Trail du Mont Blanc di Perancis. - Foto ihsan pembaca
RAZIF berlatih untuk bertanding dalam acara lasak Ultra Trail du Mont Blanc di Perancis. - Foto ihsan pembaca

RAZIF mengibar bendera Malaysia ketika menamatkan perlumbaan di Ultra-Trail Australia, baru-baru ini. - Foto ihsan pembaca
RAZIF mengibar bendera Malaysia ketika menamatkan perlumbaan di Ultra-Trail Australia, baru-baru ini. - Foto ihsan pembaca

"Apa yang penting adalah pengalaman berharga dan cabaran terpaksa dihadapi sepanjang kejohanan ini tidak boleh dijual beli atau didapati di tempat lain. Antara pengalaman berharga yang terpaksa saya harungi ialah berlari dalam cuaca sejuk dan trek licin," katanya.

Selain itu, Razif juga tidak lokek untuk berkongsi ilmu dan petua jika seseorang individu mahu menyertai acara sukan lasak terutama larian jarak jauh melebihi 100km.

Katanya perkara paling penting jika seseorang menyertai acara ultra maraton ialah wajib mempunyai kesungguhan dan motivasi tinggi serta memerlukan pengorbanan dari segi masa latihan dan wang.

"Bagi menjimatkan kos untuk menyertai kejohanan antarabangsa di luar negara Razif juga sering membuat perancangan dan membeli tiket lebih enam bulan lebih awal daripada tarikh sebenar perlumbaan terbabit.

"Kita juga perlu membeli peralatan seperti lampu suluh, kasut dan pakaian bersesuaian serta pelbagai jenis makanan tambahan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlari di waktu malam serta bermalam di atas gunung atau dalam hutan," katanya.

INFO

  • Menyertai larian gunung Ultra-Trail Australia sejauh 100km dalam cuaca sejuk dan hujan lebat.
  • - Menamatkan larian 100km di Ultra-Trail Australia dalam masa 17:00 jam.

    - Ultra-Trail du Mont Blanc (UTMB), Perancis, acara larian gunung paling berprestij.

Berita Harian X