Isnin, 12 Jun 2017 | 12:07am

Masalah peribadi punca rumah tangga Ezlynn retak

KUALA LUMPUR: Diuji kemelut rumah tangga pada bulan penuh keberkatan, penyanyi Ezlynn mengaku dugaan yang dihadapinya amat berat.

Pertama kali meluahkan isi hati, Ezylnn yang selama ini sekadar memberi kenyataan ringkas mengenai masalah rumah tangganya itu, memberitahu BH Plus, sukar bagi dirinya melalui detik ini apatah lagi pada Ramadan.

Masih berbekas dalam sanubari, detik manis menyambut Ramadan bersama suami, Adam Fahmy yang dinikahinya pada 2011, namun, kali ini, semuanya berbeza.

"Ia sangat susah untuk saya lalui, juga buat Adam. Kami sangat terasa dan terkesan dengan apa yang terjadi. Perkara ini memang tak pernah diduga sama sekali. Kami fikir hubungan ini akan kekal hingga ke jannah. Tapi kalau jodoh sudah tertulis sebaliknya, saya reda.

EZLYNN dan Adam Fahmy (kanan).NSTP
EZLYNN dan Adam Fahmy (kanan).NSTP

"Kalau kita berusaha nak selamatkan, namun, jika itu bukan aturannya, apa daya kita untuk melawan," katanya.

Sebelum ini, kecoh kisah penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye ini memfailkan permohonan cerai terhadap Adam di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, Januari lalu.

Pasangan itu dilaporkan diperintah menghadiri sesi Jawatankuasa Pendamai (JKP) berikutan Adam tidak bersetuju untuk meneruskan perceraian secara baik itu. Mahkamah menetapkan 11 Julai ini untuk sebutan kes bagi mendengar laporan JKP.

Akui Ezylnn, masalah rumah tangga yang dihadapinya turut dirasai keluarga dan teman rapat.

"Bukan saya dan suami saja yang terkesan dengan hal ini, kawan-kawan di sekeliling juga merasainya. Namun, seperti diluahkan, jika diteruskan bersama tetapi terus menyakiti hati masing-masing, tiada gunanya. Apapun, kita tunggu saja keputusan JKP," katanya.

Cintai diri sendiri

Tambah Ezlynn atau nama sebenarnya, Azline Ariffin, 35, apa yang berlaku bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.

"Ini kerana kami sudah biasa menjadi rapat. Kami berkongsi hobi sama dan selesa dengan diri masing-masing. Kami berkenalan pada 2004 hingga memutuskan untuk hidup bersama pada 2011. Adam yang menguruskan kerjaya saya selama ini hinggalah awal tahun ini," katanya.

Akui Ezlynn, apa yang berlaku sekarang membuatkan mereka tidak boleh lagi menjadi seperti dulu.

EZLYNN mengaku dugaan yang dihadapinya amat berat. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
EZLYNN mengaku dugaan yang dihadapinya amat berat. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Benar, manusia berubah. Manusia berkembang dengan apa yang terjadi," katanya.

Ditanya apakah rumah tangga mereka yang dikatakan goyah sejak tiga tahun lalu berpunca daripada orang ketiga, Ezlynn berkata: "Puncanya hanya membabitkan kami dan tiada kaitan orang ketiga," katanya.

Dengan apa yang terjadi, Ezlynn akur hidup perlu diteruskan.

"Saya mesti gembirakan diri sendiri. Sekurang-kurangnya untuk sekali ini, saya perlu mencintai diri sendiri lebih daripada segala-galanya. Doa yang baik-baik untuk apa saja keputusan mahkamah nanti," katanya.

Rakam lagu ciptaan Tam Spider

Mengenai perkembangan terbarunya, Ezylnn yang sudah mula merencana kerjaya seni sendirian, sedang menimbang kemungkinan menggunakan khidmat syarikat Indigital Music.

"Banyak perkara membabitkan kerjaya dilakukan bersama Adam, tapi sekarang tidak lagi. Tak saya nafikan ada kejanggalan di situ.

"Namun, dulu ada perkara yang saya uruskan sendiri kerana dia turut mengendalikan artis lain, jadi saya okay. Sayapun sudah mula memandu sendirian ke lokasi acara," katanya yang bakal merakamkan lagu ciptaan Tam Spider, tidak lama lagi.

INFO:

* Ezylnn dan Adam berkahwin pada 20 November 2011.

* Rumah tangga mereka bergolak sejak tiga tahun lalu.

* Mahkamah menetapkan 11 Julai depan untuk sebutan kes bagi mendengar laporan JKP sama ada Ezlynn dan suami kekal bersama atau sebaliknya.

* Popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye.

* Berkebolehan menjahit dan mengeluarkan tudung instant Halus by Ezlynn.

Berita Harian X