Sabtu, 10 Jun 2017 | 12:11am
GAMBAR hiasan. Pelajar lelaki komuniti Rohiagya menunjukan duit raya dari Madrasah ERCA ketika menerima sumbangan pada majlis berbuka puasa anjuran Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) di Sri Serdang. - Foto Amirudin Sahib
GAMBAR hiasan. Pelajar lelaki komuniti Rohiagya menunjukan duit raya dari Madrasah ERCA ketika menerima sumbangan pada majlis berbuka puasa anjuran Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) di Sri Serdang. - Foto Amirudin Sahib

Puasa bantu kanak-kanak lebih sihat

PUASA tidak akan menjejaskan proses perkembangan kanak-kanak selagi mereka mendapat khasiat pemakanan sihat dan seimbang.

Apa yang penting, ibu bapa perlu pastikan hidangan yang disediakan ketika bersahur dan berbuka adalah berasaskan konsep pinggan sihat berdasarkan Pengambilan Nutrien yang Disyorkan (RNI).

Konsep pinggan sihat merangkumi suku karbohidrat, suku protein dan separuh sayur sayuran dan buah buahan.

Ketua Jabatan Pediatrik Universiti Malaya, Prof Madya Dr Muhammad Yazid Jalaludin, berkata selagi mengikut RNI, proses tumbesaran kanak-kanak tidak akan terganggu.

Pakar Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Muhammad Yazid Jalaludin. - Foto Nazran Jamel
Pakar Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Muhammad Yazid Jalaludin. - Foto Nazran Jamel

Galak seawal usia

Beliau yang juga Pakar Pediatrik dan Endokrin Pusat Perubatan Universiti Malaya, berkata tempoh berpuasa selama sebulan terlalu singkat untuk menjejaskan perkembangan kanak-kanak yang belum mencapai tahap baligh.

"Galakkan kanak-kanak seawal usia enam tahun yang ingin berpuasa berbuat demikian. Tidak ada paksaan dengan memberikan kelonggaran untuk mereka berbuka sekiranya tidak tahan," katanya.

Ibadah berpuasa juga tidak boleh dilihat sebagai larangan untuk makan disiang hari saja sebaliknya mendidik anak memilih makanan sihat ketika bersahur dan berbuka.

Kurang nutrisi, jejas tumbesaran

"Tumbesaran kanak-kanak berkaitan Faktor Pertumbuhan Seakan Insulin (IGF-1) iaitu faktor yang merangsang tulang untuk memanjang.

"Pengeluaran IGF-1 dirangsang oleh hormon tumbesaran dan pengeluarannya boleh terencat sekiranya kanak-kanak tidak cukup nutrisi, seterusnya membantutkan tumbesaran," katanya.

Kanak-kanak juga memerlukan vitamin D dan kalsium dengan minum susu sebagai cara terbaik walaupun ia boleh didapati secara percuma daripada sinar matahari.

Info:

  • Sumber tenaga sihat untuk kanak-kanak:
  • - Karbohidrat
    - Protein
    - Lemak

  • Kurangkan pengambilan gula.
  • - Makanan manis
    - Minuman manis

  • Tempoh proses tumbesaran anak:
  • - 1 sehingga 2 tahun:
    - Penanda paling penting untuk tumbesaran anak
    - Memerlukan pemakanan berkhasiat dan seimbang untuk mencapai ketinggian diperlukan.

  • 2 sehingga 5 tahun:
  • - Nutrisi masih penting
    - Hormon pembesaran mula dihasilkan

    5 tahun ke atas:

    - Hormon pembesaran memainkan peranan penting selain nutrisi.

    Berita Harian X