Jumaat, 9 Jun 2017 | 12:04am

Waspada dakyah golongan sesat

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidakkah engkau memerhatikan (wahai Muhammad) orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab, mereka memilih kesesatan (dengan meninggalkan petunjuk Tuhan), dan mereka pula berkehendakkan supaya kamu juga sesat jalan." (Surah an-Nisa', ayat 44)

Sebahagian ahli tafsir menyatakan ayat ini berkaitan seorang pendeta Yahudi bernama Ka'ab Ibn al-Asyraf, yang mengikat janji setia dengan kaum Quraisy untuk menyerang Nabi SAW serta orang Islam.

Ka'ab ditugaskan menemui ketua kaum Quraisy, iaitu Abu Sufyan. Dalam pertemuan itu, Abu Sufyan bertanya Ka'ab: "Engkau seorang yang berilmu dan pandai membaca kitab sedangkan kami buta huruf dan tidak tahu membaca. Siapakah sebenarnya lebih betul, kamu atau Muhammad?" Ka'ab bertanya Abu Sufyan: "Beritahu kami, apa ajaran kamu?

Berkata Abu Sufyan: Kami mengadakan sembelihan unta gemuk untuk orang haji, kami beri makanan dan minuman kepada tetamu, kami bebaskan tawanan, kami hubungkan silaturahim, kamu makmurkan Baitullah, kami melakukan tawaf dan kami adalah penghuni tanah haram Makkah.

Muhammad pula seorang pemecah belah agama datuk neneknya, pemutus silaturahim, pemecah belah keluarga tanah haram. Agama kami adalah agama terdahulu, sedangkan agama Muhammad terbaru. Mendengar keterangan itu, Ka'ab berkata: Demi Allah, agama kamulah yang betul."

Tukar kebenaran

Lalu ayat di atas diturunkan yang menjelaskan keadaan beberapa umat yang melanggar hukum agama, menyelewengkan isi kitab mereka dan menukar kebenaran dengan kesesatan. Peringatan diberikan supaya mereka menyedari bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi mereka.

Jika mereka mengabaikan, hukuman akan dijatuhkan kerana melanggar hukum agama. Sementara orang yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, selepas mendengar janji dan ancaman itu akan segera berpegang kepada hukum sehingga dapat memperbaiki jiwanya.

Allah SWT juga berbicara dengan Nabi Muhammad SAW mengenai sikap kaum Yahudi yang memegang kitab suci Taurat sanggup menukar kebenaran kepada kesesatan, menolak keterangan membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan mengharap Baginda sesat bersama mereka.

Sheikh Al-Marahgy ketika mengulas ayat itu menyatakan, "Tidakkah kamu mahu memerhatikan segolongan orang telah diberikan kitab Allah SWT tetapi mereka jauh daripada hidayah bahkan menukarnya dengan yang sebaliknya. Mereka memilih kesesatan, bahkan menginginkan supaya orang yang beriman menjadi sesat seperti mereka. Mereka dengan rajin melakukan tipu daya kepada kamu, supaya kamu menjadi murtad andainya perkara itu dapat mereka lakukan."

Mahu orang lain sesat

Sikap orang Yahudi yang inginkan umat Islam menjadi sesat tidak mempunyai sebarang alasan, selain hasad dan dendam. Mereka mahu menghancurkan umat Islam kerana kebenaran yang ada pada mereka.

Kebenaran akidah, syariat meliputi seluruh aspek kehidupan, politik, ekonomi, kemasyarakatan, kehakiman dan pendidikan. Inilah kebenaran yang menjadikan umat Islam istimewa berbanding umat lain.

Golongan ilmuwan ini berpura-pura menunjukkan mereka berjiwa ikhlas, cintakan keamanan dan jujur dalam tindakan, tetapi mereka mengikut ukuran Allah SWT, mereka sebenarnya musuh dan pengkhianat.

Sebahagian manusia yang beragama berasa cukup dengan hanya mengerjakan beberapa amalan seperti dilakukan segolongan orang Yahudi yang berasa cukup meneruskan beberapa upacara korban.

Ilmu itu amanah

Padahal, perbuatan seperti itu tidak cukup untuk dianggap sebagai pelaksanaan mengikut agama jika gagal memperbaiki jiwa seperti yang dikehendaki Allah SWT.

Allah SWT membimbing kita mematuhi ajaran agama untuk membersihkan jiwa, mencapai keredaan-Nya dan menjadi golongan manusia berakhlak. Ia juga bagi mengelak daripada menjadi seperti segolongan umat terdahulu.

Golongan terdahulu mengkhianati amanah ilmu yang diberikan Allah SWT demi kepentingan dunia, sanggup mengorbankan kebenaran yang ditukar dengan kebatilan daripada syaitan kerana mahukan orang lain sesat seperti mereka.

Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X