Rabu, 7 Jun 2017 | 12:10am
NOR Juliana membantu anaknya, Adam Hakimi Abdullah, 12, memakai kasut 'doodle' yang dihasilkannya. - Foto Khairunisah Lokman
NOR Juliana membantu anaknya, Adam Hakimi Abdullah, 12, memakai kasut 'doodle' yang dihasilkannya. - Foto Khairunisah Lokman
NOR Juliana menggunakan corak yang diperolehi menerusi buku atau internet untuk menghasilkan kasut 'doodle'. - Foto Khairunisah Lokman
NOR Juliana menggunakan corak yang diperolehi menerusi buku atau internet untuk menghasilkan kasut 'doodle'. - Foto Khairunisah Lokman

Doodle kasut jana pendapatan sampingan

MELAKA: Hanya mengambil masa selama tiga jam, seorang ibu kepada dua anak mampu memperoleh antara RM50 hingga RM65 hasil melukis 'doodle' pada kasut pelanggan.

Nor Juliana Mat Ali, 40, berkata pada mulanya melukis doodle pada kasut sekadar hobi, selepas melihat beberapa pasang kasut lama anaknya terbiar menjadi buruk, lalu beliau membuat sentuhan kreatif.

"Sebenarnya idea tercetus menghasilkan kasut doodle ini apabila melihat kasut lama anak yang masih boleh dipakai, cuma warnanya sedikit luntur.

"Jadi, ketika itu saya terfikir kenapa perlu membazir membeli kasut baharu sedangkan kasut lama itu saya boleh 'twist' jadikan sesuatu yang 'fresh'," katanya kepada BH.

Anak pencetus idea

Nor Juliana yang bekerja sebagai pereka grafik, berkata anaknya juga boleh dikatakan sebagai pencetus idea awal pembabitannya membuat lukisan pada kasut dan seterusnya menjadikan ia sebagai punca pendapatan sampingan.

NOR Juliana menjadikan kasut lukisan tangan sebagai perniagaan sampingan secara dalam talian. - Foto Khairunisah Lokman
NOR Juliana menjadikan kasut lukisan tangan sebagai perniagaan sampingan secara dalam talian. - Foto Khairunisah Lokman

NOR Juliana menunjukkan kasut 'doodle' yang dihasilkannya. - Foto Khairunisah Lokman
NOR Juliana menunjukkan kasut 'doodle' yang dihasilkannya. - Foto Khairunisah Lokman

Katanya, disebabkan kedua-dua anak lelakinya gemar membeli kasut baharu, maka kasut lama semakin memenuhi ruang tempat penyimpanan kasut.

"Dari situ, saya fikir lebih baik kasut lama itu dibasuh dan saya cuba buat sesuatu supaya anak boleh digunakannya semula dan paling penting, mengelak pembaziran.

"Corak pertama yang saya buat adalah motif tengkorak. Apabila siap sepasang, saya tunjuk pada anak dan tak sangka pula dia suka, sebelum mencadangkan supaya saya memaparkannya di laman sosial Facebook," katanya.

Katanya, sejak itu dia mula membuka akaun Instagram @doodlesbyAJ dan menerusi Facebook sendiri untuk menjadikan kasut lukisan tangan sebagai perniagaan sampingan secara dalam talian.

Lebih 100 pasang siap

"Nak buat (melukis pada kasut) bukan terus datang, kebanyakan corak saya akan cari sendiri melalui buku atau internet. Apabila dapat permintaan pilihan pelanggan sendiri saya cuba penuhi.

"Alhamdulillah, walaupun baru menceburi bidang ini sudah 10 corak saya buat seperti motif bunga, kucing, beruang, abstrak dan 'monster', paling penting mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan," katanya.

Nor Juliana berkata, disebabkan kekangan waktu kerana bekerja, beliau akan melakukannya pada waktu malam dan hari minggu saja untuk menyiapkan tempahan.

"Walaupun dengan keadaan itu, kini saya sudah menyiapkan lebih 100 pasang kasut dalam tempoh dua bulan disebabkan minat yang mendalam," katanya.

ANTARA alatan yang digunakan bagi menghasilkan lukisan tangan doodle. - Foto Khairunisah Lokman
ANTARA alatan yang digunakan bagi menghasilkan lukisan tangan doodle. - Foto Khairunisah Lokman

NOR Juliana mewarnakan kasut 'doodle' menggunakan cat arkilik. - Foto Khairunisah Lokman
NOR Juliana mewarnakan kasut 'doodle' menggunakan cat arkilik. - Foto Khairunisah Lokman

Warna ceria pilihan

Menceritakan proses penghasilan kasut doodle, wanita berasal dari Pulau Pinang itu memberitahu, selepas pelanggan memilih saiz,  dia akan mula melukis mengikut corak yang diingini.

Katanya, warna ceria seperti merah jambu, merah, kuning, hijau, biru dan hitam menjadi pilihan kebanyakan pelanggannya untuk menampilkan gaya mereka.

"Tidak susah pun nak buat kasut doodle ini, apa yang penting minat dan bakat kerana jika seseorang itu cepat bosan belum tentu dapat menghasilkan sesuatu karya seni yang berkualiti.

"Dari segi bahannya pula sangat mudah dan tidak memerlukan kos yang tinggi. Hanya perlu berus lukisan, warna arkalik dan pen artline pelbagai saiz," katanya.

Berita Harian X