Rabu, 31 Mei 2017 | 12:04am

Bayaran ansuran mudahkan ibu miliki pengepam susu

PUTRAJAYA: Bermula dengan niat mahu menambah pengetahuan mengenai penyusuan bayi dan penjagaan kesihatan diri ketika berpantang, seorang wanita kini membuka sebuah butik keperluan ibu dan bayi, dengan antara lain menawarkan alat pengepam susu.

Malah, Pemilik dan Pengurus Cawangan Lunatots Putrajaya, Hazarina Ishak, 37, turut memperkenalkan konsep bayaran ansuran bulanan berikutan kos alat berkenaan yang dianggap mahal iaitu di antara RM200 dan RM1,000 tertakluk kepada jenama.

Usaha wanita yang sering berkongsi idea dan pendapatnya di laman forum ibu serta bayi itu membawanya ke dunia perniagaan dengan modal pinjaman permulaan daripada Perbadanan Usahawan Nasional Bumiputera (PUNB) sebanyak RM30,000.

Hazarina berkata, segala-galanya bermula pada 2008 ketika hamil anak pertama, sekali gus memaksa beliau mendapatkan banyak maklumat khusus buat dirinya dan anak yang bakal dilahirkan.

Beliau yang juga bekas pengaturcara komputer, berkata pengalaman menyambut anak pertama menuntutnya belajar pelbagai perkara terutama berkaitan penyusuan ibu, yang mana pada waktu itu, alat mengepam susu tidak banyak pilihan dan agak mahal.

Katanya, menyedari masalah kebanyakan wanita yang memerlukan alat pengepam susu mendorong beliau memikirkan kaedah terbaik bagi membantu mereka dengan memperkenalkan konsep bayaran ansuran bulanan.

PEMILIK dan Pengurus Cawangan Lunatots Putrajaya, Hazarina Ishak. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PEMILIK dan Pengurus Cawangan Lunatots Putrajaya, Hazarina Ishak. - Foto Mohd Fadli Hamzah

BERMULA dengan niat mahu menambah pengetahuan mengenai penyusuan bayi dan penjagaan kesihatan diri ketika berpantang membuatkan Hazarina membuka sebuah butik keperluan ibu dan bayi. - Foto Mohd Fadli Hamzah
BERMULA dengan niat mahu menambah pengetahuan mengenai penyusuan bayi dan penjagaan kesihatan diri ketika berpantang membuatkan Hazarina membuka sebuah butik keperluan ibu dan bayi. - Foto Mohd Fadli Hamzah

"Usaha ini berhasil dan mendapat sokongan pelbagai pihak terutama golongan wanita yang kini boleh memiliki alat pengepam susu secara bayaran ansuran. Sejak itu, saya semakin berminat dengan dunia perniagaan yang bukan sahaja memberi pulangan agak lumayan, malah memudahkan saya menguruskan rumah tangga dan anak.

"Perniagaan yang dimulakan dari rumah berkembang kepada membuka kedai pada 2010 di Presint 15, di sini dan selepas melihat potensi perniagaan semakin luas, sekitar 2012 saya memohon pinjaman tambahan daripada PUNB, yang meluluskan RM300,000.

"Daripada hanya menumpukan kepada barangan penyusuan ibu dan lampin pakai basuh, kini lebih 200 jenis barangan keperluan ibu serta bayi dijual di butik ini dan dalam talian iaitu www.suri.my termasuk set penjagaan kesihatan dan berpantang, makanan bayi, pakaian menyusu serta keperluan bayi.

"Sekarang, ketika Ramadan dan musim perayaan kita menjual baju Melayu atau kurung berkonsepkan 'romper' yang mudah untuk dipakai serta berasaskan kain menyerap peluh dan tidak panas," katanya yang turut memberi peluang kepada peniaga Bumiputera untuk menempatkan barangan di kedainya. 

Beliau, yang juga Pengerusi Kumpulan Sokongan Susu Ibu, Hospital Serdang, berkata bantuan PUNB tidak terhad kepada pinjaman perniagaan, sebaliknya turut menyediakan kursus bimbingan untuk usahawan menambah baik perniagaan mereka.

HAZARINA menyusun barangan keperluan ibu dan bayi di butik Lunatots Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
HAZARINA menyusun barangan keperluan ibu dan bayi di butik Lunatots Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

LUNATOTS turut tawarkan pelbagai jenis alat pengepam susu. - Foto Mohd Fadli Hamzah
LUNATOTS turut tawarkan pelbagai jenis alat pengepam susu. - Foto Mohd Fadli Hamzah

"PUNB tidak 'membiarkan' usahawan begitu sahaja, banyak kursus berkaitan bimbingan dan pengurusan perniagaan  disediakan sehingga mereka yang berminat dalam bidang perniagaan tidak risau untuk mencuba kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan bagi mereka yang benar-benar serius dalam bidang ini.

"Kita kena buat rajin 'homework', ada pelbagai pinjaman yang kerajaan sediakan seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional dan PUNB, pilih saja yang mana. Setiap pinjaman itu ada syarat kelulusannya, jika mahu berjaya pastikan kita memenuhi setiap syarat ini," katanya.

INFO

RM330,000 - pinjaman dibuat dengan PUNB

250 - barangan keperluan ibu dan bayi dijual di Lunatots Putrajaya

Berita Harian X