Ahad, 28 Mei 2017 | 12:13am
PESERTA membaiki tayar basikal yang pancit ketika perjalanan ke Krabi, Thailand. - Foto ihsan KEMM
PESERTA membaiki tayar basikal yang pancit ketika perjalanan ke Krabi, Thailand. - Foto ihsan KEMM

Pengamal media berbasikal mengembara dari Perlis hingga Krabi, Thailand

PESERTA berkayuh sepanjang 330 kilometer dari Pos Imigresen Wang Kelian ke Krabi, Thailand bagi menyampaikan mesej keamanan. - Foto ihsan KEMM
PESERTA berkayuh sepanjang 330 kilometer dari Pos Imigresen Wang Kelian ke Krabi, Thailand bagi menyampaikan mesej keamanan. - Foto ihsan KEMM

MENELUSURI perjalanan mengayuh basikal dari Pos Imigresen Wang Kelian, Perlis ke Krabi, Thailand bukanlah mudah, kerana ia memerlukan kekuatan mental dan ketahanan fizikal.

Namun, 15 pengamal media cekal melakukannya dalam tempoh tiga hari bagi menyampaikan mesej keamanan dengan menyertai kayuhan Kelab Eksplorasi Media Malaysia (KEMM)-Vertex Central Industries (VCI) Cycling To Krabi. 

Ketua Ekspedisi, Noor Asrekuzairey Salim, berkata program itu boleh dianggap seperti serampang dua mata kerana selain memupuk keakraban hubungan dua hala Malaysia-Thailand ia turut mengeratkan hubungan antara pengamal media mewakili pelbagai agensi. 

Sampaikan risalah, sumbangan

PESERTA kayuhan bergambar di hadapan masjid sepanjang perjalanan ke Krabi, Thailand. - Foto ihsan KEMM
PESERTA kayuhan bergambar di hadapan masjid sepanjang perjalanan ke Krabi, Thailand. - Foto ihsan KEMM

Sepanjang perjalanan, peserta berhenti di lokasi terpilih bagi menyampaikan risalah dan sumbangan kepada masjid.

"Syukur segala yang dirancang dapat dilaksanakan, malah risalah yang diamanahkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, semasa majlis pelepasan peserta juga sudah kami sampaikan. 

"Risalah itu antara lain menjemput warga selatan Thailand khususnya, menghadiri program Perkampungan Sunnah yang diadakan di Kangar, Perlis," katanya. 

Antara pengamal media yang menyertai ekspedisi berkenaan ialah dari BH, Utusan Malaysia, Kosmo!, Bernama, Bernama News Channel (BNC), Malaysia Gazette dan The Sun. 

Noor Asrekuzairey berkata cuaca yang tidak menentu langsung tidak mematahkan semangat peserta untuk meneruskan ekspedisi tanpa banyak berhenti kerana tidak mahu peserta sampai lewat daripada tempoh tiga hari yang ditetapkan.

"Perjalanan kami juga banyak dipermudahkan apabila diiringi pihak berkuasa tempatan dan anggota polis dari Thailand. Keistimewaan itu diberikan kerana hubungan baik Tuanku Syed Faizuddin dengan Thailand," katanya. 

Menceritakan mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan, Noor Asrekuzairey berkata beliau tidak menyangka penduduk tempatan memberi sambutan yang begitu baik apabila kumpulan berkenaan tiba di masjid mereka. 

"Setiap kali kami berhenti di masjid terpilih, penduduk tempatan akan menyambut kami dengan meriah dan layanan yang diberikan sangat baik," katanya. 

Program pertama KEMM

WALAUPUN hujan, peserta tetap berkayuh sepanjang 330 kilometer dari Pos Imigresen Wang Kelian ke Krabi, Thailand bagi menyampaikan mesej keamanan. - Foto ihsan KEMM
WALAUPUN hujan, peserta tetap berkayuh sepanjang 330 kilometer dari Pos Imigresen Wang Kelian ke Krabi, Thailand bagi menyampaikan mesej keamanan. - Foto ihsan KEMM

Sementara itu, Timbalan Pengerusi KEMM, Mohd Zaki Amiruddin berkata, KEMM baru didaftarkan pada Disember tahun lalu di mana ia mengumpulkan pengamal media yang sukakan kegiatan ekstrem dan mencabar. 

"Ini penganjuran pertama program seumpama ini dan ternyata ia mendapat sambutan menggalakkan, sekali gus membuktikan pengamal media juga mampu melakukan kegiatan lasak," katanya.

INFO

  • 330 kilometer jarak kayuhan pengembaraan berbasikal dari Wang Kelian, Perlis hingga Krabi, Thailand.
  • Sepanjang pengembaraan singgah di lokasi terpilih dan sampaikan sumbangan kepada masjid, antaranya Masjid Muhammadiah, Masjid Saedolislam di Banna Palian, Trang; Masjid Krongjilad, Krabi dan Masjid Al-Aman, Krabi.
  • Majlis pelepasan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Kampung Baru Panggas, Padang Besar.
Berita Harian X