Sabtu, 27 Mei 2017 | 12:06am

Optometris bukan sekadar 'jurujual cermin mata'

BUKAN mudah untuk bergelar seorang optometris kerana profesion sering disalah anggap sekadar 'jurujual cermin mata' itu sebenarnya menuntut kemahiran insaniah dan teknikal yang tinggi.

Mereka yang menceburi bidang itu perlu berurusan dengan orang ramai daripada pelbagai latar belakang dan personaliti yang mempunyai masalah penglihatan masing-masing.

Selain itu, optometris berperanan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan membuat saringan penyakit mata secara berkala kerana proses berkenaan mungkin dapat membantu menyelamatkan penglihatan seseorang.

Ini kerana penjagaan mata bukan sekadar memeriksa tahap kerabunan apabila berasa penglihatan sudah kabur. Pemeriksaan secara menyeluruh dapat memastikan penjagaan kesihatan mata bagi mengelakkan masalah semakin teruk.

Prospek kerjaya sebagai optometris amat luas atas beberapa faktor, terutama peningkatan kes rabun.

Optometris juga mendapat sokongan pengamal perubatan bagi membantu memberi kesedaran kepada orang ramai, termasuk bekerjasama menjalankan khidmat bakti pemeriksaan kesihatan untuk penduduk kampung.

Kerjaya ini boleh dikatakan unik kerana mereka yang terbabit, secara umum, perlu arif dalam bidang kesihatan, psikologi, matematik, perniagaan, pemasaran, seni dan fesyen.

INFO: Optometris

  • Menjalankan pemeriksaan, memberi diagnostik masalah penglihatan dan membuat preskripsi kaca mata.
  • Berperanan penting dalam penjagaan kesihatan mata primer dengan mengenal pasti masalah penglihatan dialami pesakit seperti rabun, mata malas, juling, katarak dan penyakit saraf mata.
  • Membantu pesakit melihat dengan lebih baik melalui preskripsi cermin mata, kanta lekap ataupun terapi penglihatan bagi yang memerlukan.
  • Merujuk pesakit kepada doktor pakar mata untuk rawatan lanjut sekiranya ada tanda penyakit mata serius.
  • - Antara pengkhususan dalam bidang optometri ialah penglihatan kanak-kanak, penglihatan sukan, kanta lekap, penglihatan binokular (termasuk juling) dan penglihatan warna.
  • Pelajar yang berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang optometri perlu mengambil subjek Biologi, Kimia dan Fizik pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, serta cemerlang pengajian matrikulasi atau asasi sains.
  • Universiti awam yang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Optometri (dengan Kepujian) meliputi Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Teknologi MARA membabitkan pengajian selama empat tahun.
Berita Harian X