Sabtu, 20 Mei 2017 | 12:05am

Jerawat perlu dicegah

JERAWAT adalah masalah kulit biasa yang menyerang lebih 85 peratus remaja dan dewasa berusia 12 sehingga 25 tahun di seluruh dunia.

Tekanan atau stres menjadi punca jerawat diikuti tahap hormon tidak menentu, corak tidur yang tidak tetap selain keletihan.

Faktor genetik dan kesan pengambilan ubat menyebabkan jerawat timbul pada wajah.

Berdasarkan kajian Hiruscar di Malaysia, 98 peratus mereka yang menghadapi masalah jerawat memiliki parut tidak diingini.

Pengasas Medi-I Skin Studio, Dr Lim Ing Kien, berkata bagi menghilangkan parut jerawat, penting untuk memahami bagaimana jerawat terjadi dan rawatannya.

Pilih rawatan sesuai

"Parut jerawat tidak boleh dibiarkan tanpa rawatan kerana boleh menyebabkan jerawat lebih teruk pada masa depan.

"Langkah pertama sebelum merawat jerawat dengan mengenal pasti jenis parut dan memilih jenis rawatan yang sesuai untuk mendapatkan hasil memuaskan," katanya.

Parut jerawat terdiri daripada beberapa bentuk dan saiz lazimnya muncul pada masa sama.

Sementara itu, Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Ch'ng Chin Chwen, berkata jerawat mungkin masalah biasa, tetapi tanpa rawatan yang betul keadaan itu akan menyebabkan parut kekal.

Kulit setiap individu berbeza

"Setiap orang memiliki kulit berbeza secara genetik dan memerlukan lebih daripada satu rawatan untuk mencegah parut.

"Parut menyebabkan individu merasa rendah diri terutama sekiranya ia boleh dilihat dengan jelas pada muka dan leher," katanya.

Kajian mendapati, 17 peratus golongan remaja dan dewasa di negara ini kurang keyakinan diri.

Kira-kira 18 peratus lagi cuba mengelak berjumpa rakan kerana tidak selesa dengan parut jerawat.

Info: Punca jerawat;
- 32 peratus - Stres
- 31 peratus - Perubahan tahap hormon.
- 30 peratus - Corak tidur, keletihan dan tenaga yang rendah.
- 5 peratus - Keturunan.
- 3 peratus - Ubat ubatan.

Parut jerawat:
- 31 peratus mempunyai parut berlubang akibat kehilangan tisu yang dalam.
- 63 peratus parut hitam, merah.
- 6 peratus parut timbul (hipertropik) - sering muncul kerana lebihan pembentukan tisu baharu.

Berita Harian X