Khamis, 18 Mei 2017 | 12:15am

Tepis persepsi jual buku bukan kerja penulis

DARI kiri; Khalid, Zainal dan Pitri Al-Fateh pada Wawancara Sofa Putih, di reruai ITBM, PBAKL, di PWTC.. - Foto Khairul Azhar Ahmad
DARI kiri; Khalid, Zainal dan Pitri Al-Fateh pada Wawancara Sofa Putih, di reruai ITBM, PBAKL, di PWTC.. - Foto Khairul Azhar Ahmad

KUALA LUMPUR: Persepsi kerja penulis hanya menulis dan urusan penjualan buku adalah tugas penerbit sepatutnya dihakis. Sebaliknya, usaha pengarang yang menjual buku sendiri lebih mudah menarik perhatian pembeli, selain boleh mengenal pasti golongan sasaran.

Apatah lagi jika bernaung dengan penerbitan besar yang mempunyai ratusan penulis, karya seseorang penulis lebih mudah tenggelam ekoran banyaknya jumlah buku yang diterbitkan bukan saja hampir setiap bulan, bahkan mingguan.

Apa yang paling utama adalah kesungguhan untuk berbuat demikian dan membuang pegangan klise bahawa kerja penulis hanya menulis.

Hal itu disimpulkan tiga penulis, Khalid Salleh, Zainal Abas dan Pitri Al-Fateh Zainon pada Wawancara Sofa Putih, Kami Penulis, Kami Juga Jual Buku yang berlangsung di reruai Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mustar.

Mengambil contoh pengalaman peribadi, Khalid dikenali juga sebagai pelakon berkata, menjual buku sendiri membantunya mempercepatkan proses penjualan.

"Ketika saya membuat jelajah untuk Monolog Jual Ubat, saya bawa buku sendiri ke setiap tempat yang saya pergi. Walaupun penerbit juga menjual buku kita, tetapi tidak salah kita juga menjual sendiri.

"Ketika mementaskan Monolog Jual Ubat itu, secara peribadi saya berasakan buku itu ubat, apa sahaja membawa kebaikan dan kesedaran itu adalah ubat," katanya.

Jual buku sendiri

Pitri Al Fateh turut senada dengan Khalid, bezanya selain menulis Pitri juga menjalankan perniagaan menjual buku.

"Saya akan jual buku sendiri, selain buku penulis lain ke semua tempat yang saya pergi termasuklah ke kuliah agama yang dihadiri.

"Saya melihat ia satu tanggungjawab untuk menjual buku sendiri, selain dapat mengenal pasti kecenderungan genre pilihan kelompok masyarakat," katanya.

Pengalaman Zainal Abas yang sebelum ini dikenali juruhebah radio juga tidak kurang menariknya. Meskipun persepsi umum menyebut buku puisi tidak laku, beliau mampu menjual sendiri kumpulan puisi tulisannya dalam jumlah yang banyak.

"Apa yang saya nampak, peminat puisi adalah dari kalangan golongan pelajar dan pembaca yang ingin mengenal kehidupan.

"Kalau orang kata buku puisi tidak boleh jual, ia tidak begitu tepat kerana saya menjual buku tulisan saya ke perpustakaan negeri dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)," katanya.

Berita Harian X