Isnin, 8 Mei 2017 | 12:06am

Jabatan Agama tak ikut peraturan Imigresen

KUALA LUMPUR: Kegagalan mematuhi undang-undang jabatan agama Islam negeri dikesan antara punca warga asing yang bekerja sebagai buruh mudah berkahwin dengan rakyat tempatan.

Ini kerana peraturan Jabatan Imigresen menetapkan syarat yang ketat untuk mereka berkahwin dengan rakyat tempatan, tetapi ada jabatan agama Islam beberapa negeri tidak mematuhinya. .

Sekurang-kurangnya dua jabatan agama Islam negeri tidak mengikut peraturan berkenaan, iaitu Selangor dan Pahang.

Ini memudahkan mereka mengahwini rakyat tempatan, khususnya wanita tanpa menyedari implikasi undang-undang dan sosial menanti mereka.

Antaranya adalah perceraian, muflis akibat pinjaman tidak berbayar dan paling membimbangkan, anak yang dilahirkan pasangan terbabit ditakrif sebagai anak tidak sah taraf selepas permit berkerja dibatalkan.

Mengikut Akta Imigresen 1956/63, buruh asing yang memegang permit Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) tidak dibenarkan berkahwin dengan rakyat tempatan.

Jika gagal mematuhi undang-undang itu, permit kerja akan dibatalkan dan dikehendaki pulang ke negara asal. Mereka hanya boleh berkahwin dengan memasuki semula negara ini menggunakan pas lawatan sosial selepas enam bulan kemudian.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Haris Kassim mengakui pihaknya mengguna pakai syarat perkahwinan antara pekerja asing dengan warga negara ini sama seperti yang ditetapkan untuk rakyat tempatan.

"Warga asing yang mahu berkahwin dengan rakyat tempatan perlu melengkapkan dokumen asas seperti visa, pas dan surat akuan memeluk agama Islam terlebih dahulu supaya perkahwinan boleh didaftar di negara ini.

"Syarat nikah tidak menyebut mengenai warga negara, malah tiada halangan jika mereka mematuhi syarat perkahwinan dan dokumen disahkan pihak berkelayakan. Warga asing juga tidak diwajibkan menghadiri atau memiliki sijil pra-perkahwinan," katanya kepada BH.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, berkata tiada halangan untuk mana-mana individu yang mahu berkahwin bagi mengelakkan maksiat dan ia sah jika menepati syarak.

"Biasanya, pihak berkuasa agama meminta pasangan menyelesaikan isu dokumentasi selepas pernikahan dijalankan. Kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan kepada taraf anak serta kerakyatan mereka di negara ini," katanya.

PENGARAH Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Haris Kassim. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
PENGARAH Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Haris Kassim. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Sementara itu, buruh asing yang datang berkerja di negara ini kini dikesan semakin terdesak mencari wanita tempatan untuk dikahwini sebagai langkah survival untuk terus tinggal di Malaysia.

Dengan menikahi wanita tempatan, mereka beranggapan akan layak menikmati segala kemudahan yang disediakan untuk rakyat Malaysia termasuk mendapat peluang menjalankan perniagaan.

Situasi inilah yang mendorong mereka mencari mangsa untuk membuat pinjaman peribadi dan lesen perniagaan supaya mereka dapat meneruskan kehidupan di negara ini.

BH menemubual beberapa wanita yang mendakwa diperdaya, dipergunakan dan ditindas selain terpaksa menanggung hutang ratusan ribu ringgit selepas berkahwin dengan lelaki warga Bangladesh, Arab dan Pakistan, malah lebih malang status anak yang dilahirkan adalah bukan warganegara kerana dokumen bapa yang tidak lengkap.

Kes pertama

Zarina Ismail, 47, tampil berkongsi pengalaman menanggung hutang RM200,000 bagi menampung perniagaan dan kehidupan sepanjang empat tahun perkahwinannya dengan buruh warga Bangladesh.

Beliau berkata, selepas status kad kredit beliau mencapai had maksimum, suaminya kini mempergunakan wanita tempatan lain pula dengan taktik sama.

Katanya, selepas berkahwin, beliau dipaksa membuat pinjaman peribadi dan Amanah Ikhtiar Malaysia dengan alasan untuk membuka perniagaan pakaian.

"Kerana termakan pujukan, saya meninggalkan dua anak hasil perkahwinan pertama di kampung untuk memberi fokus kepada perniagaan kami. Suami saya meminta saya menjadi penjamin perniagaannya selepas bernikah.

"Selepas beberapa tahun berniaga, kami berjaya membuka dua cawangan. Bagaimanapun, semua keuntungan tidak dikongsi bersama," katanya yang mengakui tidak mempunyai simpanan kewangan.

Zarina berkata, sebaliknya keuntungan itu digunakan suaminya untuk membantu rakan senegara masuk ke negara ini dengan cara tidak sah.

Kes kedua

Seorang penjawat awam mendakwa terpaksa menanggung hutang RM100,000 selepas buruh warga Arab yang dikahwininya meninggalkannya sejurus wang diserahkan.

Wanita berusia 35 tahun itu berkata, suaminya mendakwa ingin membuka perniagaan dengan wang berkenaan namun bertindak keluar dari negara ini secara senyap.

"Saya ada membuat laporan polis selepas kejadian itu dan hasil maklumat awam mendapati suami saya pernah kembali ke negara ini dan menggunakan taktik sama terhadap wanita tempatan lain.

"Sasaran suami saya adalah penjawat awam yang mudah membuat pinjaman kewangan atau wanita dari golongan kenamaan," katanya.

Kes ketiga

Seorang wanita sanggup berhenti kerja sebagai wartawan di sebuah syarikat swasta semata-mata untuk membantu perniagaan suaminya, warga Pakistan, selepas memasuki negara ini sebagai pekerja asing.

Bagaimanapun, wanita berusia 36 tahun itu menanggung kerugian termasuk gagal melunaskan pinjaman peribadi ratusan ribu ringgit apabila perniagaan suaminya ditutup kurang setahun.

Lebih malang, kedua-dua anak hasil perkahwinannya tidak memiliki status warga negara kerana pasport suaminya sudah tamat tempoh, sejak dua tahun lalu.

"Suami saya berusaha untuk memperbaharui pasport menerusi beberapa pihak berkuasa yang ditemuinya namun tidak berhasil. Duit beribu ringgit sudah habis begitu sahaja dan janji tinggal janji," katanya.

Berita Harian X