Jumaat, 5 Mei 2017 | 12:10am
PRESIDEN Persatuan Pencinta dan Pemuliharaan Hidupan Penyu Sabah (PPPHPS), Alexander Yee. - Foto Poliana Ronnie Sidom
PRESIDEN Persatuan Pencinta dan Pemuliharaan Hidupan Penyu Sabah (PPPHPS), Alexander Yee. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Guna 3,500 botol plastik terbuang bina galeri

SANDAKAN: Menyedari kepentingan mengekalkan kehijauan alam sekitar, sebuah syarikat pelancongan, Trekkers Lodge Sdn Bhd mengambil inisiatif memanfaatkan ribuan botol plastik yang terbuang.

Syarikat itu mengitar semula kira-kira 3,500 botol plastik dengan diikat pada tiang dan dinding sebuah rumah kecil yang dijadikan galeri konservasi penyu Pulau Libaran, di sini.

Pengarah Urusannya, Alexander Yee, berkata walaupun rumah daripada botol plastik itu mungkin bukan yang pertama di Malaysia, yang menariknya semua botol plastik itu adalah bahan buangan yang dikumpul selama tiga tahun menerusi program pembersihan pantai itu.

DINDING galeri yang dibina menggunakan botol plastik berkapasiti 1.5 liter. - Foto Poliana Ronnie Sidom
DINDING galeri yang dibina menggunakan botol plastik berkapasiti 1.5 liter. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Idea membina rumah plastik itu timbul selepas seorang rakannya memperlihatkan rumah botol plastik di luar negara menerusi internet.

"Kami mengumpul banyak botol plastik yang dipungut di sepanjang pantai selepas program pembersihan dilakukan untuk menggalakkan penyu mendarat di pulau ini," katanya kepada BH.

Yee yang juga Presiden Persatuan Pencinta dan Pemuliharaan Hidupan Penyu Sabah (PPPHPS), berkata rumah berukuran panjang dan lebar empat meter dengan ketinggian lebih tiga meter itu mengambil masa lima minggu untuk disiapkan.

PULAU Libaran yang terletak berhampiran Taman Pulau Penyu. - Foto Poliana Ronnie Sidom
PULAU Libaran yang terletak berhampiran Taman Pulau Penyu. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Galeri itu memaparkan pelbagai informasi dan gambar mengenai usaha konservasi penyu Pulau Libaran.

"Saya yakin galeri ini bakal menjadi tarikan baharu Pulau Libaran yang terletak berhampiran Taman Pulau Penyu sebagai destinasi pelancongan dan pusat pemuliharaan penyu sejak empat tahun lalu," katanya.

Pulau Libaran terletak kira-kira 40 kilometer dari pantai Sandakan dan berhampiran Taman Pulau Penyu, merangkumi Pulau Gulisan, Selingan dan Bakungan Kecil di Laut Sulu.

GALERI ini mengambil masa lima minggu untuk disiapkan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
GALERI ini mengambil masa lima minggu untuk disiapkan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Menerusi pembinaan rumah botol plastik itu, Yee berharap ia mampu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kebersihan dan usaha pemuliharaan penyu yang dikategorikan sebagai haiwan eksotik yang hampir pupus.

Sebelum program pembersihan dilaksanakan di pulau itu yang turut memiliki kawasan perkampungan, Yee berkata, hampir tiga kilometer sepanjang pantai dipenuhi bahan buangan daripada botol plastik, tayar dan pelbagai jenis sampah dipercayai hanyut dari kawasan perkampungan dan tanah besar.

"Keadaan air laut juga sangat teruk iaitu berwarna kehitaman kerana dipenuhi sampah sarap dan mengundang bahaya kepada penyu yang mendarat untuk bertelur di pulau ini.

GALERI konservasi penyu yang dibina dengan menggunakan botol plastik terbuang. - Foto Poliana Ronnie Sidom
GALERI konservasi penyu yang dibina dengan menggunakan botol plastik terbuang. - Foto Poliana Ronnie Sidom

"PPPHPS kini dalam proses mengumpul gambar dan pelbagai informasi untuk disimpan pada galeri rumah kitar semula ini," katanya.

Mengenai usaha memperbesarkan rumah kitar semula itu, Yee berkata, beliau tidak menyimpan hasrat berbuat demikian kerana tidak mahu mengganggu kawasan penyu bertelur.

"Ramai yang bertanya jika saya ada perancangan membesarkan rumah botol plastik ini, tapi jawapan saya tidak... penyu lebih penting," katanya.

Berita Harian X