Khamis, 27 April 2017 | 12:13am
ROHAIDI Dolah teliti ketika mengasah parang. - Foto Nazri Abu Bakar
ROHAIDI Dolah teliti ketika mengasah parang. - Foto Nazri Abu Bakar
ROHAIDI Dolah menguji ketajaman parang yang dihasilkannya. - Foto Nazri Abu Bakar
ROHAIDI Dolah menguji ketajaman parang yang dihasilkannya. - Foto Nazri Abu Bakar
ANTARA parang yang dihasilkan Rohaidi Dolah. - Foto Nazri Abu Bakar
ANTARA parang yang dihasilkan Rohaidi Dolah. - Foto Nazri Abu Bakar
PARANG hasil sentuhan Rohaidi Dolah. - Foto Nazri Abu Bakar
PARANG hasil sentuhan Rohaidi Dolah. - Foto Nazri Abu Bakar

Rohaidi pakar buat parang bladesport

MELAKA: Menyediakan parang untuk bladesport bukan tugas mudah berikutan ia memerlukan fokus dan kemahiran tinggi bagi membolehkan ia tahan lasak untuk digunakan ketika pertandingan itu yang jarang diadakan di negara ini.

Pembuat parang bilah, Rohaidi Dolah, 45, dari Kampung Bukit Baru Dalam di sini berkata, dia mula berjinak dalam pembuatan peralatan berkenaan secara tradisional, sejak lebih lapan tahun lalu.

Katanya, teknik melembutkan besi, mereka bentuk, menajam dan menghasilkan hulu dan sarung parang berkenaan dilakukan sendiri dengan `tulang empat kerat' sehingga mengambil masa berbulan-bulan untuk menyiapkan sebilah parang yang unik.

Beliau berkata, bermula dengan besi buruk atau jenis besi gulung sebelum dilurus dan direka menjadi parang tajam, kuat dan tahan lasak, semua rentetan kerja berkenaan perlu teliti bagi menghasilkan produk berkualiti.

ROHAIDI Dolah menunjukkan parang yang dihasilkannya. - Foto Nazri Abu Bakar
ROHAIDI Dolah menunjukkan parang yang dihasilkannya. - Foto Nazri Abu Bakar

"Kerja-kerja tradisional termasuk memanas besi, melembut, menyepuh minyak atau air dan melurus besi serta mencanai sememangnya memenatkan mental dan fizikal. Namun selepas saya banyak belajar menerusi internet berkaitan penghasilannya, saya mendapat idea untuk menggunakan barangan terpakai bagi membuat sendiri mesin kerja-kerja berkaitan.

"Ia termasuk proses melurus, terutama rumah api yang menggunakan kipas khas bagi membolehkan arang hidup dengan cepat untuk memanas dan melembutkan besi.

"Malah, saya tidak lagi perlu mengetuk besi yang dibakar dengan tukul besi untuk kerja-kerja awalan mereka bentuk besi yang sukar dengan mengambil masa berhari-hari untuk dibentuk menjadi parang. Sebaliknya, saya mencipta mesin pengetuk menggunakan elektrik yang pantas dan tidak mengambil masa lama untuk menghasilkan parang bilah," katanya.

Baginya, dia sentiasa menekankan aspek perlindungan keselamatan berikutan besi panas dan tajam boleh menyebabkan kecederaan, sambil tidak menafikan terdapat banyak kesan parut akibat terkena percikan api termasuk di lengan dan tangannya.

ROHAIDI Dolah menunjukkan mesin pengetuk yang dihasilkannya. - Foto Nazri Abu Bakar
ROHAIDI Dolah menunjukkan mesin pengetuk yang dihasilkannya. - Foto Nazri Abu Bakar

Katanya, parang bilah bukan seperti parang biasa kerana ketebalan, ketajaman dengan bentuk ikatannya dengan hulu parang perlu selaras badan parang bagi memastikan ia kuat dan tidak tercabut apabila memotong kayu atau digunakan untuk apa-apa tujuan.

Dia mengambil masa lebih sebulan untuk menghasilkan pembuatan yang berkualiti dengan harga pasaran antara RM500 hingga RM1,500 mengikut saiz, bentuk parang, sarung dan hulu.

Katanya, dia juga menyediakan hulu parang dengan menggunakan kayu suriyan, meranti keruing, halban meranti dan cengal yang dicari dalam hutan selain membelinya daripada pembekal.

Pelbagai jenis dan bentuk hulu parang antaranya hulu rajawali dan tapak kuda yang direka mengikut kesesuaian penggunanya serta kekuatan hulu sebagai pemegang parang bilah yang dihasilkan.

ROHAIDI Dolah memilih kayu untuk dijadikan hulu parang. - Foto Nazri Abu Bakar
ROHAIDI Dolah memilih kayu untuk dijadikan hulu parang. - Foto Nazri Abu Bakar

Kebiasaan sukan berkenaan dikategorikan mengikut kepantasan atau masa selain kekemasan menerusi potongan kayu yang diletakkan melintang atau menegak selain memotong kertas, botol air mineral dan plastik.

Bagi menghasilkan ketahanan yang sesuai untuk semua bahan yang perlu dipotong dia terpaksa menguji terlebih dahulu parang yang dihasilkan bagi mengelak mata parang pecah, patah atau terkopek berikutan pertandingan itu mengambil kira faktor parang bilah yang tidak rosak.

Dia yang memiliki Grup Keras Tangan dengan jenama Atol di parangnya sering mengadakan perbincangan bersama rakan untuk penghasilan yang lebih baik dan berkongsi idea terbaik, sekali gus memenuhi semua ketetapan dan syarat yang diperlukan.

Selain membuat parang bilah untuk pertandingan dia juga membuat parang untuk melapah lembu menyembelih haiwan ternakan dan semua jenis parang untuk kegunaan harian.

INFO

  • Memanas besi, melembut, menyepuh minyak atau air dan melurus besi serta mencanai memenatkan mental dan fizikal.
  • Menyediakan hulu parang dengan menggunakan kayu suriyan, meranti keruing, halban meranti dan cengal.
  • Harga pasaran RM500-RM1,500 mengikut saiz, bentuk parang, sarung dan hulu.

Berita Harian X