Selasa, 25 April 2017 | 12:16am
ALATAN dan kelengkapan bagi pengurusan jenazah. - Foto Wanti
ALATAN dan kelengkapan bagi pengurusan jenazah. - Foto Wanti

Gadis jadi pelapis urus jenazah

KUALA KUBU BARU: Bimbang melihat tiada generasi pelapis menguruskan jenazah di Hulu Selangor, seorang gadis mengambil inisiatif meneruskan usaha ibunya menunaikan fardu kifayah itu, sebaik menerima tauliah daripada Nazir Masjid Jame' Al Kholidiah, pada tahun lalu.

Noor Shahira Redzuan, 17, menjadi remaja paling muda yang memiliki tauliah berkenaan bagi menguruskan jenazah wanita di daerah ini dan sering bersama ibunya bagi melakukan tugas berkenaan sejak 10 tahun lalu.

"Sejak berusia tujuh tahun, saya sudah mengikuti ibu menguruskan jenazah wanita tetapi sekadar membantu menyediakan segala kelengkapan bagi mengkafankan jenazah.

"Ketika itu belum berani hendak melakukan tugasan lain, hingga berusia 10 tahun, apabila diberi tugasan memandikan jenazah bersama waris si mati, mengkafankan jenazah hingga selesai bersama ibu.

"Menyedari akan keperluan mempunyai ilmu, saya menyertai kursus memandikan jenazah kelolaan masjid bersama beberapa remaja lain di daerah Hulu Selangor," katanya kepada BH Plus di rumahnya di Kampung Melayu Rasa, di sini.

NOOR Shahira sudah menguruskan banyak jenazah pelbagai lapisan masyarakat di Rasa, Hulu Selangor.
NOOR Shahira sudah menguruskan banyak jenazah pelbagai lapisan masyarakat di Rasa, Hulu Selangor.

Noor Shahira juga adalah gadis bersisik ular yang dilaporkan BH selepas berdepan masalah untuk memperoleh lesen memandu dan melakukan urusan rasmi akibat tiada cap jari, kerana menghidap 'palmoplantar keratoderma'.

Sepanjang tempoh sedekad, Noor Shahira sudah menguruskan banyak jenazah pelbagai lapisan masyarakat di Rasa.

"Jika menerima panggilan hospital, saya dan ibu akan pergi untuk menguruskan jenazah," katanya yang mengajak golongan muda meneruskan fardu kifayah ini untuk manfaat kariah.

Beliau berkata, beliau agak kecewa kerana ramai remaja yang mengikuti kursus pengurusan jenazah dan memiliki sijil yang diiktiraf, tetapi tidak mahu meneruskan aktiviti itu.

"Menjadi satu kerugian kepada mereka yang bertauliah tetapi tidak mahu menggunakan pengetahuan yang dimiliki untuk berbakti kepada masyarakat.

"Mungkin ramai tidak sedar keistimewaan menjadi pengurus jenazah dari sudut berbeza, misalnya keyakinan dan kebergantungan kita kepada Allah melebihi rasa takut terhadap makhluk-Nya.

PENGURUS jenazah remaja, Noor Shahira Redzuan sedang menyiapkan kelengkapan jenazah. - Foto Wanti
PENGURUS jenazah remaja, Noor Shahira Redzuan sedang menyiapkan kelengkapan jenazah. - Foto Wanti

"Pengendalian setiap jenazah adalah berbeza dan memiliki hikmah tertentu. Perkara asas pengendalian jenazah adalah menjaga aib si mati.

"Jadi, kita mesti memastikan tiada orang yang tidak memahami keadaan si mati ada berdekatan kerana kita tidak mahu ada cerita kurang enak, fitnah disebar," katanya.

 

Berdasarkan pengalamannya, Shahira berkata, hanya waris si mati yang berhak menghubungi Nazir bagi mendapatkan pengesahan kematian ahli keluarga.

Beliau turut memberi petua iaitu apabila seseorang sudah meninggal, waris hendaklah menyapukan minyak masak di bahagian sendi untuk melembutkannya.

NOOR Shahira menunjukkan cara menguruskan jenazah. - Foto Wanti
NOOR Shahira menunjukkan cara menguruskan jenazah. - Foto Wanti

INFO
Petua menguruskan jenazah:

  • Minta kebenaran keluarga si mati sebelum menanggalkan gigi palsu kerana tanpa kaedah itu gigi berkenaan gagal ditanggalkan.
  • Minta kebenaran keluarga si mati untuk meluruskan tangan yang bengkok bagi menutup aibnya.
  • Jika ada kulit tertanggal, tidak perlu dikutip.
Berita Harian X