Isnin, 17 April 2017 | 12:02am

Canon EOS M6 tampil pintar

Canon EOS M6.
Canon EOS M6.

SUDAH 30 tahun sejak model pertama kamera dengan Sistem Canon EOS dilancarkan di pasaran.

Kini dunia menyaksikan evolusi baharu kamera paling popular itu disesuaikan dengan ciri-ciri pintar bagi mengukuhkan kedudukan ditengah pertumbuhan agresif telefon pintar.

Justeru, bertepatan dengan ulang tahun itu, Canon membariskan tiga model EOS yang disuntik genetik pintar baharu di pasaran tempatan baru-baru ini.

Tiga model terbabit adalah Canon EOS 800D, Canon EOS 77D dan Canon EOS M6.

Berbeza dengan model sebelumnya, Canon menjanjikan model baharu kelas permulaan itu diperkasa dengan beberapa ciri-ciri teknologi premium yang sebelum ini hadir dalam varian kamera profesional.

EOS M6, kamera tanpa cermin.
EOS M6, kamera tanpa cermin.

Gajet kali ini memfokuskan kepada EOS M6, kamera tanpa cermin yang semakin menjadi sebutan dalam kalangan pengguna baharu dan pertengahan untuk berjinak-jinak dengan dunia fotografi.

Walaupun dengan dimensi kamera yang kompak, EOS M6 dikuasakan dengan prosesor imej Digic 7 yang sebelum ini menjadi nadi dalam kamera DSLR dan dipertingkat untuk memberikan imej serta audio yang lebih berkualiti.

Ia turut memanfaatkan penderia 24.2-mega piksel APS-C CMOS untuk menghasilkan rakaman video HD-penuh pada keupayaan 60 kerangka sesaat selain pilihan tetapan ISO 100 hingga 25,600.

Pengguna juga tidak boleh memandang rendah terhadap badan EOS M6 yang lebih kecil kerana kamera kompak ini boleh disesuaikan dengan barisan lensa EF-M memberikan lebih kuasa kepada pengguna untuk memilih jenis lensa yang diingini.

Skrin LCD sesentuh turut memberikan kemudahan akses kepada tetapan kamera supaya lebih mesra pengguna selain boleh dipusing mengikut sudut rakaman yang sesuai dan menepati mod rakaman selfie.

Antara ciri-ciri yang menjadikan ia kamera pintar adalah keupayaan sambungannya menerusi WiFi, NFC dan Bluetooth bertenaga rendah yang mampu mengekalkan sambungan lebih mampan dengan telefon pintar pengguna.

Hasilnya perkongsian gambar EOS M6 kini lebih mudah dengan hanya meletakkan kamera di platform disediakan untuk diedit terus di komputer riba. Atau sambungkan sahaja terus ke telefon pintar supaya setiap rakaman dapat dihantar terus ke laman sosial pengguna setiap kali rakaman selesai.

INFO: Harga EOS M6

- RM3,409 untuk badan kamera sahaja

- RM3,949 badan kamera + kit lensa EF-M15-45mm

- RM5,259 badan kamera + lensa EF-M18-150mm

Berita Harian X