Sabtu, 15 April 2017 | 12:04am
DR Rasdi memeriksa pesakitnya di Hospital Pakar Kuala Terengganu. - Foto Ghazali Kori
DR Rasdi memeriksa pesakitnya di Hospital Pakar Kuala Terengganu. - Foto Ghazali Kori
PAKAR Perunding Oftalmologi, Hospital Pakar Kuala Terengganu, Dr Rasdi Abdul Rashid. - Foto Ghazali Kori
PAKAR Perunding Oftalmologi, Hospital Pakar Kuala Terengganu, Dr Rasdi Abdul Rashid. - Foto Ghazali Kori

Ketumbit bukan disebabkan mengintai

KUALA LUMPUR: Masyarakat Melayu sering mengaitkan ketumbit atau benjolan pada kelopak mata dengan tabiat buruk seseorang iaitu suka mengintai.

Selain itu, ada tanggapan yang keadaan itu boleh dijangkiti sekiranya berdekatan dengan mereka yang mengalami ketumbit.

Hakikatnya, ketumbit adalah sejenis keradangan pada kelopak mata yang disebabkan jangkitan kuman atau bakteria, khususnya pada akar bulu mata.

Pakar Perunding Oftalmologi, Hospital Pakar Kuala Terengganu, Dr Rasdi Abdul Rashid, berkata ketumbit juga tidak berjangkit kepada orang lain, sebaliknya berlaku disebabkan kesan penyumbatan, seterusnya jangkitan pada kelenjar kelopak mata pesakit itu sendiri.

Risiko komplikasi kepada kanak-kanak

"Pada umumnya serangan itu tidak bahaya tetapi ia boleh menyebabkan komplikasi terutama ke atas kanak-kanak jika tidak dirawat segera. Ini kerana jangkitan pada mata terlalu hampir dengan otak dan sistem daya tahan imun kanak-kanak belum matang sepenuhnya," katanya.

Ketumbit boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu pertama, jangkitan kuman pada pangkal bulu mata ('stye') dan kedua, keradangan yang disebabkan penyumbatan pada kelenjar kelopak mata yang menghasilkan minyak pada permukaan mata ('Chalazion').

GRAFIK BH
GRAFIK BH

Ketumbit ('stye')

Pada umumnya, ketumbit ini tidak bahaya dan tidak menjejaskan penglihatan tetapi boleh menyebabkan kesakitan dan benjolan kecil pada kelopak mata.

Ada kalanya, seseorang itu mendapat lebih daripada satu ketumbit pada satu-satu masa. Jangan digosok atau memicit ketumbit kerana perbuatan ini berupaya menyebabkan jangkitan di sekeliling mata ('preseptal cellulitis').

Sekiranya tidak mendapatkan rawatan segera, terutama kanak-kanak, jangkitan akan merebak ke belakang bola mata ('Orbital Cellulitis').

'Orbital cellulitis' boleh menyebabkan gangguan penglihatan dan buta. Ini disebabkan jangkitan merebak ke dalam otak.

Sekiranya tidak dirawat, boleh menyebabkan komplikasi seperti sawan dan kematian.

DR Rasdi memberi penerangan berkenaan penyakit mata ketumbit di Hospital Pakar Kuala Terengganu. - Foto Ghazali Kori
DR Rasdi memberi penerangan berkenaan penyakit mata ketumbit di Hospital Pakar Kuala Terengganu. - Foto Ghazali Kori

Ketumbit ('Chalazion')

Ketumbit jenis ini berlaku disebabkan penyumbatan kelenjar minyak pada kelopak mata.

Biasanya tumbuh agak besar dan perlahan daripada 'stye'. Pesakit mengalami ketumbit jenis ini berminggu-minggu dan sehingga berbulan-bulan lamanya.

Jika saiznya terlalu besar boleh menyebabkan kelopak mata menurun dan mengganggu penglihatan. Ketumbit jenis 'Chalazion' biasanya tidak sakit.

Jika dijangkiti kuman ketumbit ini boleh menyebabkan kesan sakit yang berdenyut serta komplikasi sama seperti 'stye' tadi iaitu radang kelopak mata luar ('Preseptal Cellulitis').

Kesan radang atau jangkitan akan berlaku pada belakang mata ('Orbital Cellulitis), seterusnya jangkitan kuman dalam otak.

SEKIRANYA ketumbit tidak mendapatkan rawatan segera, terutama kanak-kanak, jangkitan akan merebak ke belakang bola mata ('Orbital Cellulitis'). - Foto Ghazali Kori
SEKIRANYA ketumbit tidak mendapatkan rawatan segera, terutama kanak-kanak, jangkitan akan merebak ke belakang bola mata ('Orbital Cellulitis'). - Foto Ghazali Kori

INFO

Selain benjolan merah pada kelopak mata, antara gejala lain ketumbit adalah:

  • Benjolan semakin membesar dan kelihatan tompok kuning atau mata

  • Mata berair dan seperti berpasir
  • Mata menjadi sensitif terhadap cahaya.
  • Permukaan ketumbit mungkin pecah dan mengeluarkan nanah atau cecair.
  • Kebiasaannya ketumbit mengambil masa sekitar tiga hari untuk matang, pecah serta mengeluarkan nanah atau cecair.
  • Kebanyakannya akan sembuh dalam tempoh seminggu.

Rawatan:

  • Tuam mata yang bengkak dengan tuala yang direndam air suam, dengan kekerapan tiga hingga empat kali sehari. Amalan ini mengurangkan sakit dan mengecutkan ketumbit.
  • Ubat tahan sakit (paracetamol) terutama bagi ketumbit jenis 'stye'.
  • Sapuan antibiotik setempat untuk melawan jangkitan kuman. Antibiotik secara oral selama seminggu untuk ketumbit besar dan bernanah.

Pembedahan:

  • Kebanyakan pesakit tidak memerlukan pembedahan tetapi pembedahan kecil diperlukan bagi mengeluarkan nanah atau lendir sekiranya antibiotik tidak berkesan atau ketumbit terlalu besar sehingga mengganggu penglihatan.
Berita Harian X