Rabu, 12 April 2017 | 12:02am
Pengusaha Ladang Arnab Bukit Badong, Mohd. Zikrul Hakim Noor, isteri dan anaknya sentiasa berada di ladang berkenaan untuk memastikan pengunjung menikmati pengalaman yang tersendiri.
Pengusaha Ladang Arnab Bukit Badong, Mohd. Zikrul Hakim Noor, isteri dan anaknya sentiasa berada di ladang berkenaan untuk memastikan pengunjung menikmati pengalaman yang tersendiri.

Ladang Arnab Bukit Badong beri pengalaman istimewa

KUALA SELANGOR: Kunjungan ke Ladang Arnab Bukit Badong, dekat sini, yang memiliki lebih 5,000 ekor daripada 15 jenis baka arnab memberi satu pengalaman berbeza berbanding mengunjungi zoo mini di pameran pertanian.

Berkonsepkan Edutourism iaitu pendidikan dan pelancongan, pengusahanya, Mohd Zikrul Hakim Noor, 34, menyediakan tapak untuk pengunjung bersantai sambil bermanja dengan pelbagai jenis arnab atau mempelajari cara menternak arnab untuk dagingnya.

Pengunjung hanya perlu membayar RM5 bagi membolehkan mereka bermain bersama arnab di tempat disediakan sambil melihat sendiri ladang arnab yang luas dengan pelbagai baka yang jarang ditemui.

"Pengunjung terutama kanak-kanak dapat mempelajari sesuatu mengenai haiwan ini kerana mereka boleh memegang sambil memberi makan, berbeza dengan suasana di zoo di mana arnab hanya boleh dilihat.

"Selain arnab, kami juga meletakkan beberapa haiwan lain seperti burung, ayam dan kura-kura yang jarang ditemui sebagai daya tarikan di ladang.

"Kami pelbagaikan suasana di ladang ini kerana kita tahu arnab adalah haiwan comel dan pendiam manakala burung pula sering berkicau, sekali gus dapat merangsang penggunaan pancaindera manusia," katanya kepada BH Plus.

MOHD Akid Mohd Anuar (kanan) memilih Ladang Arnab Bukit Badong yang berkonsepkan Edutourism sebagai tempat menjalani latihan praktikal. STR/SUZAINI SULAIMAN FOR BH PLUS SUZAINI SULAIMAN
MOHD Akid Mohd Anuar (kanan) memilih Ladang Arnab Bukit Badong yang berkonsepkan Edutourism sebagai tempat menjalani latihan praktikal. STR/SUZAINI SULAIMAN FOR BH PLUS SUZAINI SULAIMAN

Mohd Zikrul Hakim berkata, ladang itu juga memiliki lebih 10 baka ayam dan burung, selain menanam pelbagai jenis pokok herba untuk merangsang deria bau.

"Pengunjung mengambil masa dua jam untuk melihat ladang arnab dan burung di sini yang agak sesak ketika musim cuti sekolah dan hujung minggu.

"Kami mendapat kerjasama penduduk kampung yang membuka gerai makanan tradisi, selain ada yang menyediakan perkhidmatan inap desa di lokasi berhampiran bagi kemudahan pelancong menikmati percutian dalam suasana kampung," katanya.

Belajar ternak arnab untuk daging

Mohd Zikrul Hakim berkata, selain menternak arnab untuk menjadi haiwan peliharaan, beliau turut menjalankan ternakan arnab untuk penghasilan dagingnya.

Malah, katanya, ladang berkenaan turut menyediakan khidmat bantuan pemasaran manakala beliau sendiri mempunyai sijil penyembelihan daging arnab yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

PENGUNJUNG Ladang Arnab Bukit Badong, Siti Noraishah Ahmad memanfaatkan peluang pendidikan dan pelancongan sambil bermanja dengan pelbagai jenis arnab. STR/SUZAINI SULAIMAN BH PLUSSUZAINI SULAIMAN
PENGUNJUNG Ladang Arnab Bukit Badong, Siti Noraishah Ahmad memanfaatkan peluang pendidikan dan pelancongan sambil bermanja dengan pelbagai jenis arnab. STR/SUZAINI SULAIMAN BH PLUSSUZAINI SULAIMAN

"Kami juga ada rangkaian untuk penternak arnab dan membekalkan baka arnab daging kepada mereka serta membantu usahawan yang berminat, menerusi kemudahan bantuan pinjaman seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional dan Agroprenuer Muda.

"Prospek pemasaran daging arnab di luar negara terutama di Eropah lebih baik kerana dagingnya yang tinggi protein dan rendah kolesterol, selain harganya lebih mahal berbanding ayam atau lembu," katanya.

Beliau berkata, status hab halal yang dijangka dicapai dalam beberapa tahun lagi mampu mengumpulkan ramai penternak arnab di negara ini untuk mengintai pasaran luar, seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara.

"Setakat ini, kita sudah membantu 10 rakan ternak berjaya dan dijangka jumlah mereka akan bertambah. Berikutan tempoh pembesaran haiwan ini yang hanya mengambil masa empat bulan sebelum sedia disembelih, kami yakin mampu membekalkan daging arnab sekiranya mendapat permintaan tinggi.

"Antara kelebihan daging arnab berbanding ayam atau daging adalah sekiranya dibuat sate, dagingnya berasaskan otot dan peratus lemak sangat sedikit," katanya.

PENGUSAHA Ladang Arnab Bukit Badong, Mohd. Zikrul Hakim Noor, 34, menyediakan tapak untuk berlibur secara santai sambil bermanja dengan pelbagai jenis arnab kepada pengunjung. STR/SUZAINI SULAIMAN FOR BH PLUS SUZAINI SULAIMAN
PENGUSAHA Ladang Arnab Bukit Badong, Mohd. Zikrul Hakim Noor, 34, menyediakan tapak untuk berlibur secara santai sambil bermanja dengan pelbagai jenis arnab kepada pengunjung. STR/SUZAINI SULAIMAN FOR BH PLUS SUZAINI SULAIMAN

Berhenti mengajar untuk usahakan ladang

Bercerita mengenai pembukaan ladang berkenaan, Mohd Zikrul Hakim mengakui sanggup meletak jawatan sebagai pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 2015 untuk mengusahakan perniagaan berkenaan secara sepenuh masa dengan rakan kongsi, Ismail Padzil.

Katanya, ladang itu mula dibuka pada 2009 dan beliau mula aktif sejak 2014 selepas melihat potensi perusahaan berkenaan iaitu mempromosikan arnab sebagai haiwan peliharaan dan ternakan daging.

"Universiti juga memerlukan bekalan arnab untuk kajian mereka kerana bukan hanya tikus putih menjadi bahan eksperimen, sebaliknya arnab juga boleh digunakan di makmal berikutan saiznya yang lebih besar," katanya yang terdorong meminati haiwan itu selepas perlu menyiapkan sistem reban pintar untuk arnab ketika belajar di universiti.

PELAJAR latihan amali, Mohd Akid Mohd Anuar memastikan pengunjung menempuh pengalaman yang berharga apabila mengunjungi Ladang Arnab Bukit Badong yang berkonsepkan Edutourism.STR/SUZAINI SULAIMAN FOR BH PLUS SUZAINI SULAIMAN
PELAJAR latihan amali, Mohd Akid Mohd Anuar memastikan pengunjung menempuh pengalaman yang berharga apabila mengunjungi Ladang Arnab Bukit Badong yang berkonsepkan Edutourism.STR/SUZAINI SULAIMAN FOR BH PLUS SUZAINI SULAIMAN

INFO: Ladang Arnab Bukit Badong

  • Membekalkan arnab untuk perniagaan 'petting zoo' yang menjadi tarikan kanak-kanak.

  • Mampu menerima kira-kira 100 pengunjung pada satu-satu masa.

  • Pengunjung diajar cara mengenali jantina haiwan dan cara mendekati haiwan serta memberinya makan.

  • Terdapat 72 jenis baka arnab di dunia.

  • Daripada 25 jenis baka arnab yang ada di Malaysia, 15 jenis baka terdapat di ladang ini.

  • Dijangka menerima 8,000 pengunjung menjelang akhir tahun ini.

  • Menjadi pengeluar daging arnab utama untuk perusahaan sate jenama terkemuka di negara ini yang memerlukan bekalan mencecah setengah tan metrik daging haiwan berkenaan setiap bulan.
Berita Harian X