Rabu, 12 April 2017 | 12:01am
WAJAH terbaharu Mas.
WAJAH terbaharu Mas.

Karier nyanyian terkubur, Mas AF bahagia jual sate

KUALA LUMPUR: Suatu ketika dulu, wanita ini pernah mencetuskan fenomena hingga namanya terus dikenali sampai hari ini.

Dengan status ibu tunggal pada usia 23 tahun, Asma Ghani atau lebih dikenali sebagai Mas, ketika itu, pantas menjadi antara peserta favourite musim kedua program realiti popular, Akademi Fantasia (AF).

Dengan kisah kehidupan yang penuh lara membesarkan dua anak, Mas yang berasal dari Tawau, Sabah meraih simpati ramai. Saban minggu, peminat dan pengundi AF tidak putus-putus memberi sokongan agar wanita bersuara serak basah ini tabah menghadapi dugaan.

Bagai terus dirundung malang, populariti yang cuba diraih Mas bagaimanapun tidak bertahan lama. Enam tahun mencuba nasib di Kuala Lumpur, Mas akur dengan perjalanan seni yang terhenti begitu saja.

Melupakan apa yang berlaku, Mas nekad kembali ke kampung halamannya bagi meneruskan perniagaan sate yang diusahakan keluarga sejak lebih 30 tahun lalu.

Sudah menjangkau usia 36 tahun, Mas yang ditemui pada majlis resepsi perkahwinan bekas teman seperjuangan AF, Edlin dan pasangan, Nik Shahril Nik Ibrahim di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini, beliau berkongsi perkembangan terbaru dirinya.

MAS bersama suami, Bahrun Abdu Rahman.
MAS bersama suami, Bahrun Abdu Rahman.

Mengaku dirinya jauh daripada tumpuan lensa mahupun dunia glamor, Mas menjalani kehidupan biasa dengan sibuk melayan pelanggan di kedai sate milik keluarga.

Gerai sate di Kampung Muhibbah Raya, Tawau terus menjadi punca rezeki hingga hari ini. Mas tabah membesarkan dua anaknya yang kini sudah berusia 16 tahun dan 19 tahun.

Menyimpan rapi kenangan indah bersama teman-teman AF2, Mas realistik apabila membicarakan karier nyanyian yang bagaikan terkubur.

"Dalam hal ini, saya realistik. Mungkin rezeki saya bukan dalam bidang nyanyian. Sebab itu, saya sedar ruang dan diri. Dalam hidup ini, ada fasa turun naik.

"Setiap artis bergantung kepada rezeki masing-masing. Ada yang masih bertahan hingga hari ini, ada juga yang menghilang. Ini semua bergantung kepada nasib... Itu senario normal," katanya.

Mengaku kadang kala rasa terkilan, tetapi Mas pasrah dengan ketentuan hidup.

"Saya memang rasa terkilan tetapi nak buat macam mana. Cukuplah pengalaman lapan tahun berada di Kuala Lumpur apabila saya terpaksa mencari sendiri peluang menyanyi.

"Saya tidak menyesal tinggalkan dunia glamor," katanya.

Bertemu Mas, tidak banyak perubahan ketara dilihat melainkan fizikal yang makin berisi. Ketika berada di medan AF2, Mas dikenali dengan sikap 'blur' dan 'sangat lurus'.

"Beginilah saya. Badan naik barangkali bahagia. Mana tidaknya, saya kuat makan. Ada juga usaha nak turunkan berat badan tapi ia berbalik kepada soal cepat atau lambat saja.

"Hidup saya seadanya tanpa ada rasa jemu meneruskan legasi perniagaan keluarga dengan menjual sate. Hanya gerai biasa saja. Dulu pernah ada restoran, tapi diduga berlaku pula kebakaran yang memusnahkan restoran terbabit," katanya.

Penampilan Mas ketika mula mula menyertai Akademi Fantasia musim kedua.
Penampilan Mas ketika mula mula menyertai Akademi Fantasia musim kedua.

Tak pernah menyesal

Ditanya apakah dia masih aktif menyanyi, Mas memberitahu, sesekali dia ada menerima tawaran daripada penganjur persembahan.

"Saya tidaklah aktif. Tapi ada jemputan menyanyi seperti di Kota Kinabalu dan Tawau yang diterima... Dapatlah melepaskan rindu.

"Suami juga tidak menghalang saya menyanyi. Mungkin sekadar suka-suka. Saya tak fikirpun nak kembali serius. Jual satelah agaknya sampai tua. Saya sibuk cari duit dengan mengharapkan jualan sate saja," katanya.

Bernikah selepas sembilan tahun menjanda

Dalam diam, rupa-rupanya Mas sudah menamatkan zaman janda dan berkahwin dengan teman sekampung yang dikenali sebagai Bahrun Abdul Rahman. Ketika ditemuramah, Mas ditemani Bahrun.

"Jujur saya tak sangka akan berkahwin lagi. Selepas sembilan tahun lebih memegang status ibu tunggal, akhirnya jodoh kembali merapati saya.

"Bahrun orang Tawau juga... sekampung. Kami berkahwin pada 23 Julai tahun lalu, kiranya belum setahun usia perkahwinan kami. Suami juga membantu saya menjual sate," katanya yang berpisah dengan suami pertama sebelum menyertai AF2.

Info: Asma Ghani (Mas)

  • Menyertai AF2 pada tahun 2004.

  • Bertahan selama kira-kira lapan tahun sebagai artis sebelum membuat keputusan kembali ke kampung halaman menjual sate.

  • Berkahwin kali kedua pada 23 Julai 2016.

  • Teman sekuliah di AF2 adalah Edlin, Anding, Bob, Fitri, Zarina Zainoordin, Adam, Farah, Kaer, Linda Nawuwil, Nurul dan Zahid (juara pada musim itu).
Berita Harian X