Selasa, 11 April 2017 | 12:06am
Eja Shahril menampilkan rekaan busana gaun labuh rona biru. - Foto Adibah Ahmad Izam
Eja Shahril menampilkan rekaan busana gaun labuh rona biru. - Foto Adibah Ahmad Izam

Penggiat fesyen Muslimah bergabung

Antara rekaan digayakan di pentas AIFW 2017. - Foto Adibah Ahmad Izam
Antara rekaan digayakan di pentas AIFW 2017. - Foto Adibah Ahmad Izam

KEPESATAN dalam industri fesyen busana Muslimah turut merancakkan lagi kehadiran pelbagai jenama rekaan persalinan menepati syariat pemakaian mengikut Islam.

Sehubungan itu, demi merancakkan lagi industri kreatif, pelbagai acara fesyen berkonsepkan Muslimah kerap diketengahkan bagi memenuhi pencarian pengikutnya.

Sekali gus, ia membuka lebih banyak ruang perkongsian idea dalam kalangan penggiat fesyen, bukan saja tempatan tetapi menarik jenama luar negara bergabung memperluaskan industri kian mendapat sambutan ini.

Terkini, Minggu Fesyen Islam Asia 2017 (AIFW 2017) diadakan buat kali pertama di ibu negara, baru-baru ini. Acara anjuran AIFW Event itu berjaya menghimpun dan mengetengahkan pelbagai gaya fesyen busana berciri kontemporari, moden, mewah dan klasik. Ia membabitkan 100 pereka, 180 peserta pameran dan 200 pembeli industri fesyen antarabangsa.

Dengan kehadiran lebih daripada 10,000 pengunjung, minggu fesyen diketengahkan itu secara tidak langsung menyediakan landasan buat pereka Muslim mengetengahkan rekaan dengan cetusan gaya fesyen tersendiri, di samping mendapat pengiktirafan dunia.

Adila Long mengetengahkan rekaan menggunakan keindahan songket. - Foto Adibah Ahmad Izam
Adila Long mengetengahkan rekaan menggunakan keindahan songket. - Foto Adibah Ahmad Izam

Tingkatkan profil

Penulis blog fesyen berpengaruh, Heidi Nazarudin yang turut hadir sebagai ahli panel sesi forum AIFW 2017, berkata penampilan minggu fesyen seperti itu adalah penting untuk membantu meningkatkan profil fesyen Islam ke mata dunia.

Anak kelahiran Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu berkata, persembahan fesyen diketengahkan juga menjadi landasan terbaik untuk menjana minat fesyen aliran terkini dalam kalangan pengikut fesyen Muslimah moden.

"Pementasan fesyen ini mempamerkan fesyen moden kepada penggerak industri fesyen tempatan dan pengikutnya di peringkat antarabangsa.

Selain itu, kemunculan busana dan rekaan sedia pakai diketengahkan pengusaha fesyen Muslimah dan pereka fesyen dapat merancakkan lagi industri fesyen busana Muslimah di Malaysia.  

"Ia menggalakkan pemakaian fesyen bersopan tetapi pada masa sama mengikut rekaan terkini," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Malam Gala.

Antara rekaan digayakan di pentas AIFW 2017. - Foto Adibah Ahmad Izam
Antara rekaan digayakan di pentas AIFW 2017. - Foto Adibah Ahmad Izam

Curi tumpuan

Persembahan fesyen AIFW 2017 turut disertai koleksi fesyen dari Amjaad yang mempersembahkan koleksi rekaan berkonsepkan gaya jalanan memenuhi syarat pemakaian wanita Muslimah.

Busana diperagakan mencuri tumpuan. Himpunan koleksi jaket labuh mencecah lutut diberikan potongan lurus menutupi susuk tubuh namun masih mengekalkan penggayaan ranggi dipadankan dengan seluar.

Tidak kurangnya hebatnya, rekaan dari jenama Barjis dari AS turut menyuntik gaya kasual dengan elemen pemilihan fabrik bercorak memberikan kelainan pada seluruh koleksi persalinan diketengahkan.

 - Foto Adibah Ahmad Izam
- Foto Adibah Ahmad Izam

Keunikan rekaan

Seakan identiti yang tidak dapat dipisahkan daripada perekanya, koleksi Dian Pelangi menarik perhatian menerusi rekaan busana menggunakan fabrik tradisional seperti songket.

Sarat dengan motif asli, rekaan busana gaun labuh diketengahkan pereka fesyen Indonesia ini bertambah unik apabila penampilan koleksinya dihiasi padat dengan jahitan perincian bunga penuh di bahagian dada.

Pemilihan rona ungu sebagai fabrik latar juga menyerlahkan lagi motif sulaman songket menggunakan benang emas diterapkan pada koleksi kali ini.

Selain itu, rekaan dari Ethnicant By Jeny Tjahyawati pula memilih sentuhan koleksi selamat dan ringkas sesuai untuk wanita Muslimah inginkan penampilan sederhana.

Mainan warna polos seperti putih memberikan penampilan santai pada rekaan kemeja labuh dan gaun malam diketengahkan.

Cosry turut membawa kesederhanaan dalam persembahan kali ini apabila mengetengahkan gaun labuh berpotongan kembang dari rona hitam menguatkan lagi elemen misteri dalam diri seorang wanita.

Info: Minggu Fesyen Islam Asia 2017 (AIFW 2017)

  • Minggu Fesyen Islam Asia 2017 (AIFW 2017) berlangsung dari 30 Mac hingga 2 April lalu;

  • Bertempat di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.

  • Menghimpunkan jenama fesyen dari dalam dan luar negara.

  • Gerai jualan dari pelbagai jenama fesyen.

  • Pertunjukan fesyen dan hijab untuk wanita dan koleksi persalinan lelaki.

Berita Harian X