Ahad, 9 April 2017 | 12:07am

Rita rimas kontroversi bersama Aqasha

KUALA LUMPUR: "Sekiranya benar mahukan Aqasha, saya akan memilih beliau sejak dulu lagi dan bukannya sekarang," kata Rita Rudaini Mokhtar, 40, sekali gus menepis pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.

Gosip yang mengaitkan Rita menjalin hubungan dengan pelakon lelaki itu timbul sejak akhir Februari lalu, selepas mereka berdua digandingkan semula berlakon.

Rita berkata, sikapnya yang selama ini mengunci mulut bukan bererti mengiyakan dirinya sebagai punca pergolakan rumah tangga Aqasha, 35, dan isterinya, Noor Baizura Mohd Sabri, 34, sebaliknya kerana enggan memanaskan lagi api yang sedang membara.

Baginya, orang luar bebas menuduh apa saja, namun kenyataan sebenar, hanya dirinya dan Aqasha yang mengetahuinya.

"Saya dan Aqasha memang rapat, tetapi hanya sebagai kawan. Kami sudah saling mengenali sejak belasan tahun lalu kerana kerap berlakon bersama. Berdiam diri bukan bermakna saya mengesahkan apa yang berlaku.

PELAKON, Aqasha (kiri) dan Rita Rudaini. - Foto Rohanis Shukri
PELAKON, Aqasha (kiri) dan Rita Rudaini. - Foto Rohanis Shukri

"Cuma ketika itu, saya terfikir, tidak perlu mencurahkan lagi minyak ketika api sudah sedia marak. Ia hanya menambahkan persepsi buruk netizen terhadap saya. Tiada guna juga saya mempertahankan diri kerana orang tidak akan percaya.

"Daripada saya memburukkan lagi keadaan yang sudah sedia tegang, lebih baik saya tidak memberikan apa-apa kenyataan," katanya kepada BH Plus.

Rita berkata, perjalanan hidupnya yang penuh ranjau dan duri berbisa tidak sesekali membunuh semangatnya untuk terus mencari bahagia. Prinsip teguhnya itu juga membuatkan Rita kebal ketika bertalu diasak fitnah dan cemuhan.

Lantaran itu, apabila dirinya dikaitkan sebagai orang ketiga dalam episod pergolakan rumah tangga Aqasha dan isterinya, anak kelahiran Kangar, Perlis itu hanya mengunci mulut kerana enggan memanaskan lagi api yang sedang membara.

Rimas dengan tohmahan

Ibu kepada dua cahaya mata, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna itu berkata, dirinya terpaksa bersuara kerana tidak mahu fikirannya terus terbeban, selain perlu menghentikan setiap fitnah serta cemuhan yang dilemparkan terhadapnya.

RITA terpaksa bersuara kerana perlu menghentikan setiap fitnah serta cemuhan yang dilemparkan terhadapnya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
RITA terpaksa bersuara kerana perlu menghentikan setiap fitnah serta cemuhan yang dilemparkan terhadapnya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

RITA rapat dengan Aqasha hanya sebagai kawan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
RITA rapat dengan Aqasha hanya sebagai kawan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Penjelasan ini adalah yang pertama dan terakhir dari saya. Ikutkan saya malas untuk mengulasnya, tetapi perlu menghentikan setiap fitnah dan cemuhan berkenaan. Kasihan keluarga saya kerana terpaksa menangkis setiap persoalan berkenaan.

"Saya rimas menjadi buruan ramai. Bagaimanapun, apa yang berlaku membuatkan saya lebih kuat dengan dugaan hidup. Saya percaya ada hikmah di sebalik ujian yang tertulis. Hidup ini memang tidak selalu indah," katanya.

Sekadar perbualan biasa

Rita berkata, kemesraan yang dipamerkan dengan Aqasha hanya untuk menghidupkan watak yang mereka jayakan bersama dalam drama bersiri, Misi Laksa Laksam terbitan Zeel Production.

"Berpunca daripada drama itu, kami dikatakan menjalin hubungan. Dalam drama arahan Azmi Hatta itu, kami berlakon sebagai suami isteri dan saya memegang watak Fiza. Selesai penggambaran, kemesraan kami juga berakhir.

GOSIP yang mengaitkan Rita menjalin hubungan dengan Aqasha timbul sejak akhir Februari lalu. - Foto Surianie Mohd Hanif
GOSIP yang mengaitkan Rita menjalin hubungan dengan Aqasha timbul sejak akhir Februari lalu. - Foto Surianie Mohd Hanif

SIKAP Rita yang selama ini mengunci mulut bukan bererti mengiyakan dirinya sebagai punca pergolakan rumah tangga Aqasha. - Foto Zunnur Al Shafiq
SIKAP Rita yang selama ini mengunci mulut bukan bererti mengiyakan dirinya sebagai punca pergolakan rumah tangga Aqasha. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Mesej yang dipaparkan sebelum ini hanya perbualan biasa kerana kami suka bergurau senda. Tiada maksud lain tetapi tanpa disangka semua itu menimbulkan salah faham. Sejak dulu, saya dan Aqasha mempunyai keserasian setiap kali digandingkan bersama.

"Sudah berbelas drama kami disatukan, jadi kami memang rapat dan mesra sebagai teman sekerja. Apabila Aqasha berdepan dengan masalah rumah tangga, lebih baik saya tidak campur tangan. Biar dia menyelesaikan sendiri kekusutan itu.

"Sebagai kawan, saya hanya mendoakan yang baik-baik dan selebihnya, perkara itu boleh diajukan kepada Aqasha sendiri," katanya.

Berita Harian X