Jumaat, 7 April 2017 | 12:00am

Inovasi dunia kecantikan

KINI ada banyak produk diperkenalkan bagi menutup cela pada wajah. - Foto hiasan
KINI ada banyak produk diperkenalkan bagi menutup cela pada wajah. - Foto hiasan

INOVASI produk kecantikan semakin meluas bukan saja di Barat tetapi ia menjangkaui landskap kecantikan tempatan.

Suatu ketika dulu untuk menutup cela, parut mahupun memberi ilusi kulit licin, bedak asas antara pilihan utama kerana saat itu ramai wanita memiliki kulit sempurna.

Kini, kehadiran produk penutup cela wajah lebih pelbagai, antaranya adalah produk BB (Blemish Balm), CC (Color Corection) dan DD (Daily Defense) krim.

Bagaimanapun, agak membimbangkan apabila tahap pengetahuan wanita terhadap jenis produk ini begitu rendah, berikutan terlalu banyak produk dengan fungsi yang agak sama berada di pasaran.

Malah, jika dulu ia sekadar bedak asas, kini fungsinya mengandungi pelembap, krim tabir suria dan pembaikan kulit yang diperkemaskan dalam satu formula.

AURA, berkongsi dengan pengguna bagi mengenali tiga jenis rangkaian pelembap dan penyamar noda ini.

1. BB (Blemish Balm)

Krim BB atau pelembap kecantikan dikatakan, lebih ringan dari bedak asas dengan rangkaian formula seperti, pelembap, krim tabir suria dan antioksida. Ia pakej lengkap ditawarkan daripada produk ini supaya anda hanya perlu membawa satu krim untuk tiga atau empat fungsi berbeza.

Lebih menarik, produk ini membuatkan wajah nampak semula jadi berbanding bedak asas dan tidak seperti memakai topeng wajah mahupun kelihatan seperti badut.

Malah, wanita yang risau dengan wajah berminyak sehingga tidak mahu mencuba produk seumpama ini boleh memakainya berikutan ia tidak terlalu berminyak dan sesuai dipakai setiap hari sebagai alas solekan sebelum menyapu bedak padat.

2. CC (Color Correction)

CC membawa maksud, Color Correction atau ada juga yang panggil "Color Control. CC Cream terbaik di pasaran sudah tentu mempunyai banyak manfaat serta memberi kesan yang baik pada kulit anda dan bukan hanya memberi harapan kepada anda yang mahu memiliki kulit umpama selebriti.

Justeru, krim CC bertindak untuk membantu warna kulit tampak lebih sekata dan membuat wajah yang kusam lebih segar, cerah dan sempurna bercahaya walaupun tanpa solekan.

Ia memberi kawalan warna, membuat pembetulan warna dan penjagaan kulit. Bagi mereka yang memiliki jerawat, parut dan bintik merah di wajah, kandungan bahan produk ini amat sesuai digunakan kerana ia memberi kesempurnaan kepada wajah.

Kulit berupaya mendapat nutrisi, mencerahkan, memperbaiki tekstur dan kesihatan kulit selain mengandungi kawalan tabir suria kerana kandungan SPF lebih tinggi dan juga kalis air.

Warna bagi krim CC adalah putih tetapi akan bertukar mengikut warna kulit apabila disapu pada wajah. Jika anda berkulit putih, kuning langsat atau hitam menawan, ia menyerap masuk ke dalam kulit dengan memberi warna kulit sekata.

3.DD (Daily Defense)

Inovasi produk memang tidak pernah menghampakan. Terbaharu, adalah krim DD yang berasal dari frasa Daily Defense iaitu pelindung kulit harian.

Istimewa produk ini, ia memberikan kesan baik sebagai krim yang merawat kulit. Berdasarkan namanya, ia bukan saja memerangi masalah kulit pada wajah tetapi seluruh kulit pada tubuh anda termasuk bahagian tangan dan kaki.

Ia turut memberikan kelembapan maksimum pada tubuh dan krim ini diformulasi dengan paling ringan. Ia menyamar noda di kulit kerana warna krimnya sama seperti warna kulit dan menjadikan kulit bermasalah anda lebih sekata.

Berita Harian X