Isnin, 3 April 2017 | 12:04am

Buka peluang niaga patin tempoyak guna food truck

SUNGAI BULOH: Seorang penyedia masakan ikan patin masak tempoyak sedia membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk berniaga secara 'food truck'.

Berpengalaman 17 tahun dalam menyediakan masakan istimewa dari Temerloh, Pahang, Nurhisham Sharudin, 35, berkata cara itu selaras dengan hasratnya untuk memperkenalkan menu patin masak tempoyak dan patin pais di seluruh negara, pada masa depan.

"Masakan ikan patin dan pelbagai jenis ikan sungai sangkar atau liar lebih baik dihidangkan panas bagi memenuhi kehendak pelanggan yang mahu terasa seperti makan di rumah.

 DAPUR Mokde juga dibuka di Kampung Melayu Subang
DAPUR Mokde juga dibuka di Kampung Melayu Subang

"Jadi, dengan menggunakan `food truck', lebih ramai peminat ikan patin masak tempoyak dapat merasainya tanpa perlu pergi jauh," katanya kepada BH Plus ketika ditemui di kedai makan yang diusahakannya, Dapur Mokde, Sungai Plong, di sini.

Memulakan perniagaan seawal umur 18 tahun, Nurhisham sudah pun mengusahakan kafe di bandar Temerloh, dengan menu utama ikan patin masak tempoyak.

Menamakan Sham Big Mug Cafe, beliau sejak itu tidak lagi menoleh ke belakang kerana beliau tidak memiliki segulung ijazah atau diploma untuk beralih bidang.

"Selepas mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berbekalkan modal yang diberikan keluarga dan resipi ibu, Hasnah Ab Hamid, saya terus membuka kafe. Alhamdulillah kini, selepas 17 tahun, saya mengusahakan dua kedai makan yang dinamakan Dapur Mokde'," katanya.

ANTARA menu yang terdapat di Dapur Mokde, Sungai Plong.
ANTARA menu yang terdapat di Dapur Mokde, Sungai Plong.

Selain Dapur Mokde di Sungai Plong, Nurhisham bersama adiknya, Nurhaslinda, 30, turut mengusahakan Dapur Mokde di Kampung Melayu Subang, di sini.

Nurhisham berkata, hidangan di Dapur Mokde dimasak sebaik menerima pesanan pelanggan bagi memastikan kesegaran serta keenakan kekal dan lain daripada yang lain.

"Patin dan pelbagai ikan sungai lain yang dimasak di Dapur Mokde dijamin segar dan diperoleh daripada pembekal di Temerloh serta sungai di sekitar Pahang sahaja. Ikan sungai di Pahang lain daripada negeri lain kerana keenakan dan lemak ikan sungai yang asli.

"Kami gembira dengan sambutan penggemar patin masak tempoyak kerana mereka tetap singgah walaupun Dapur Mokde sekadar kedai makan biasa," katanya yang turut membantu isterinya, Nurul Ain Othman, menjual set mandian selepas bersalin, Serom.

Nurhisham berkata, masakan ikan patin dan pelbagai jenis ikan sungai sangkar atau liar dihidangkan panas kerana ingin memenuhi kehendak pelanggan yang mahu terasa seperti makan di rumah.

PELAKON filem Daulat, dari kiri, Tony Eusoff, Vanidah Imran, Cristina Suzanne, Jasmine Suraya, Rashidi Ishak dan Zul Zamri. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
PELAKON filem Daulat, dari kiri, Tony Eusoff, Vanidah Imran, Cristina Suzanne, Jasmine Suraya, Rashidi Ishak dan Zul Zamri. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Bercerita mengenai tempoyak yang menjadi antara ramuan utama masakan, Nurhaslinda berkata, tempoyak dibuat daripada isi buah durian yang diasingkan daripada bijinya dan ditambah dengan sedikit garam serta disimpan tiga hingga lima hari di dalam suhu bilik untuk proses penapaian.

Mempelbagaikan resipi pais ikan patin, Nurhaslinda berkata, ia boleh ditambah petai atau ulaman berbiji lain bagi menambahkan selera. "Ia memikat selera orang Melayu yang gemarkan ulam, sayuran hijau atau berbiji seperti petai.

"Resipi ini sesuai buat mereka yang mengelakkan juadah bergoreng. Ini kerana, pais patin dengan petai dipanggang tanpa minyak atau mentega di atas kuali leper," katanya.

Nurhaslinda berkata, kelebihan makanan panggang berbanding juadah goreng adalah ia masih mengandungi banyak vitamin dan mineral kerana ia tidak memerlukan proses memanggang yang begitu lama.

"Dengan waktu yang sedikit ketika memasak, kandungan mineral dan vitamin dalam makanan tidak hilang, malah ia dapat memberi keseronokan dan memudahkan proses memasak kerana tidak menggunakan bahan merumitkan ketika proses penyediaan," katanya.

INFO

- Dapur Mokde menyediakan makanan yang jarang dihidangkan di sini, dari Pahang seperti patin masak tempoyak, patin pais, patin air asam, patin stim dan patin bakar.

- Ikan yang ada ialah patin, patin buah, baung sungai, talapia, krai, jelawat, tambalian, talapia, kelah, gohok dan pelbagai jenis ikan sungai dan sangkar di Sungai Pahang.

- Terkenal di Pahang dan Perak, tempoyak biasanya tidak dimakan begitu saja.

- Tempoyak selalunya dibuat sambal atau dimasukkan ke dalam masakan seperti gulai tempoyak ikan patin atau pais ikan tempoyak.

Berita Harian X