Jumaat, 31 March 2017 | 12:00am

Bersih wajah satu kewajipan

Saya gemar bersolek. Masalahnya, setiap kali apabila balik lewat malam dan berasa letih, saya hanya membersihkan muka ala kadar. Kebelakangan ini, muncul bintik hitam pada muka dan ada bahagian tertentu yang tampak kering. Apa perlu saya lakukan?

Suzanna Mikail

Denai Alam, Shah Alam

Ramai mengalami masalah pada kulit wajahnya. Bagi mencegah hal ini, kesihatan kulit wajah harus sentiasa dijaga.

Satu cara supaya kulit wajah tetap sihat dan segar adalah dengan rajin mencucinya. Malah, wajah wajib dibersihkan sebelum tidur kerana ia ada beberapa manfaat lainnya.

Antaranya, memberi ruang untuk pori-pori kulit bernafas dan berasa lega, wajah bebas daripada jerawat dan menjadi bersih serta cantik.

Selain mencuci, amalan membersih wajah secara sempurna, anda harus titik beratkan beberapa perkara antaranya;

Pembersih muka

Mencuci muka dengan cara yang betul dan teliti adalah asas penting di dalam rutin penjagaan harian di rumah.

Pada waktu pagi, mencuci muka adalah langkah yang penting untuk proses penyerapan produk dan proses membuang sel kulit mati atau bahan yang tidak diperlukan yang terkumpul pada waktu malam.

Pada waktu malam pula, langkah ini membantu menghapuskan sisa kotoran daripada mekap, produk penjagaan kulit, pencemaran, dan kotoran yang terkumpul di wajah anda sepanjang hari.

Memastikan kulit bersih setiap malam, satu kemestian. Tidur dengan mekap dan tidak mencuci muka dengan betul menyebabkan banyak masalah kulit, termasuk penuaan pra-matang kulit, bintik hitam, jerawat atau kulit kering.

Jadi, pastikan anda mengambil masa beberapa minit untuk membasuh muka anda pagi dan malam. Terdapat pelbagai jenis pembersih muka di pasaran, anda hanya perlukan yang sesuai dengan jenis kulit anda.

Penyegar

Penyegar adalah produk yang anda gunakan selepas anda mencuci muka dan sebelum pelembap. Ia adalah cecair dan digunakan bersama kapas muka untuk disapu terus ke muka anda.

Terdapat juga beberapa penyegar yang boleh disembur terus pada muka anda. Untuk kulit berminyak yang boleh menghilangkan minyak berlebihan, penyegar untuk kulit kering yang menambah kelembapan pada kulit dan penyegar untuk kulit sensitif yang boleh melegakan kulit yang sensitif.

Terdapat juga jenis penyegar yang boleh di sapu atau disembur pada muka sebelum atau selepas mengenakan solekan. Ada yang menyangka bahawa penyegar tidak penting dan dianggap sebagai satu pembaziran tetapi pentingnya produk ini adalah untuk memastikan kulit sentiasa sihat.

Pelembap

Setiap orang memerlukan pelembap, walaupun mereka yang mempunyai kulit berminyak. Dengan mengetahui jenis kulit anda, ia akan dapat membantu anda memilih jenis pelembap yang sesuai dengan jenis kulit anda.

Jika kulit jenis kombinasi atau berminyak, anda perlukan pelembap jenis yang lebih ringan. Jika kulit kering, anda perlukan pelembap jenis krim. Perubahan cuaca atau musim juga akan membantu anda untuk menentukan produk pelembap jenis apa yang anda perlukan.

Sebagai contoh, pada musim sejuk anda mungkin perlukan pelembap yang berasaskan krim, untuk penghidratan tambahan.

Pelindung matahari

Setiap orang memerlukan pelindung matahari. Ia satu kemestian. Pentingnya pelindung matahari ini adalah untuk melindungi kulit anda daripada kerosakan akibat sinaran matahari, kanser kulit dan daripada penuaan kulit pra-matang.

Kanser kulit adalah salah satu jenis kanser yang paling senang dicegah. Dengan menggunakan pelindung matahari setiap hari, boleh mengurangkan risiko kanser kulit.

Sama seperti memilih pelembap anda, jenis kulit anda, gaya hidup dan faktor persekitaran seperti iklim tempat anda tinggal akan menentukan pelindung matahari yang tepat untuk anda.

Serum

Serum lebih nipis dan lebih ringan daripada pelembap serta mempunyai pelbagai jenis fungsi. Biasanya, serum mengandungi bahan aktif yang diperlukan untuk menembusi sedalam mungkin ke dalam kulit anda.

Aplikasikan serum sejurus selepas mencuci muka atau penyegar dan sebelum memakai pelembap serta pelindung matahari anda.

Serum boleh digunakan pada waktu pagi dan malam. Ia tidak menggantikan pelembap tetapi dengan adanya serum, kesan penghidratan pelembap boleh ditingkatkan.

Serum boleh membantu menangani masalah penjagaan kulit yang khusus. Contohnya, terdapat serum anti-penuaan, serum pencerahan serum dan juga serum mencegah jerawat.

Serum sedikit mahal tetapi ia berbaloi kerana terdapat banyak bahan aktif diperlukan oleh kulit anda. Pelembap pula lebih tebal dan berkrim daripada serum. Ia bertujuan untuk memastikan penghidratan kulit anda dan mencegah hilangnya air.

Pengelupasan

Pengelupasan adalah proses penyingkiran sel kulit mati yang terdapat di atas lapisan paling atas kulit anda. Pengelupasan yang kerap juga boleh menghilangkan minyak yang berlebihan dan membantu mengurangkan bintik hitam daripada tersumbat.

Apabila anda melakukan proses pengelupasan ini, kulit anda akan menjadi lebih lembut dan produk penjagaan kulit yang disapu selepas itu akan dapat diserap dengan lebih baik.

Jika anda mengalami masalah jerawat, proses ini penting dan satu kemestian supaya liang roma anda tidak tersumbat. Kekerapan melakukan proses ini bergantung kepada beberapa faktor termasuk masa diperlukan untuk menjaga kulit setiap hari, kulit anda mempunyai masalah jerawat atau sangat berminyak dan cuaca atau persekitaran tempat tinggal atau kerja anda.

Info: 6 kesalahan mencuci
1. Tangan yang kotor.
2. Pembersih yang salah.
3. Menggunakan air panas.
4. Terlalu banyak mengalami eksfoliasi atau pengelupasan kulit.
5. Membilas kurang bersih.
6. Menggunakan tuala yang keras untuk mengelap wajah.

Berita Harian X