Rabu, 29 March 2017 | 12:04am
NIK Ruhaiyah tekun menyiapkan patung beruang yang menggunakan perca kain dan kekabu. - Foto Faris Zainuldin
NIK Ruhaiyah tekun menyiapkan patung beruang yang menggunakan perca kain dan kekabu. - Foto Faris Zainuldin

Perca kain patung beruang tambah pendapatan

KOTA BHARU: Seorang tukang jahit menjana pendapatan tambahan hingga RM2,000 sebulan dengan menghasilkan patung mainan menggunakan perca kain dan kekabu.

Tukang jahit berkenaan, Nik Ruhaiyah Nik Mohd Azmy, 36, berkata ilham bagi menghasilkan patung mainan atau dikenali 'soft toys' itu muncul selepas beliau menyertai bazar jahitan tangan peringkat antarabangsa di Sarawak pada 2013.

Katanya, idea itu timbul apabila melihat seorang peserta dari England menghasilkan patung mainan berupa haiwan dengan menggunakan kain perca, kekabu dan pelbagai jenis manik seterusnya menjadikan ia satu bentuk patung mainan.

Kini, Nik Ruhaiyah terkenal dalam kalangan pelanggannya menghasilkan patung beruang atau 'teddy bear' yang kebanyakannya menempah antara 50 hingga 100 patung bagi dijadikan cenderahati pada majlis rasmi.

"Saya menjual patung mainan ini pada harga serendah RM10 hingga RM50 mengikut saiz. Dengan hanya perca kain yang saya kumpulkan selepas menjahit pakaian pelanggan, saya mampu menjana sebanyak RM2,000 sebulan bagi jualan patung mainan terbabit.

NIK Ruhaiyah menunjukkan anak patung yang sudah siap dibuat (kanan) dan yang belum siap (kiri). Patung berkenaan dijual dari serendah RM10 hingga RM50 mengikut saiz. - Foto Faris Zainuldin
NIK Ruhaiyah menunjukkan anak patung yang sudah siap dibuat (kanan) dan yang belum siap (kiri). Patung berkenaan dijual dari serendah RM10 hingga RM50 mengikut saiz. - Foto Faris Zainuldin

ANTARA anak patung mainan yang dijual dengan harga serendah RM10 hingga RM50 mengikut saiz . - Foto Faris Zainuldin
ANTARA anak patung mainan yang dijual dengan harga serendah RM10 hingga RM50 mengikut saiz . - Foto Faris Zainuldin

"Alhamdulillah, ia mendapat sambutan selepas saya turut memasarkannya melalui media sosial iaitu di Facebook atas nama Lovelytouch, selain mempunyai jaringan jualan di Brunei," katanya kepada BH Plus.

Nik Ruhaiyah berkata, minat menjahit bermula sejak dia di bangku sekolah rendah dengan belajar dengan ibunya selain menyertai beberapa kursus jahitan.

Katanya, minat mendalam terhadap jahitan menyebabkan dia menjadikan rumahnya sebagai kedai jahitan di Tanjung Chat, di sini, tahun lalu.

Katanya, selain menghasilkan patung mainan beliau juga menerima tempahan menjahit pakaian daripada orang ramai.

"Ramai juga yang datang untuk meminta menjahit pakaian seperti baju kurung dan menjahit sofa kusyen tetapi saya terpaksa mengurangkannya kerana permintaan patung mainan agak tinggi," katanya.

PELANGGAN kebanyakannya menempah antara 50 hingga 100 patung beruang bagi dijadikan cenderahati pada majlis rasmi. - Foto Faris Zainuldin
PELANGGAN kebanyakannya menempah antara 50 hingga 100 patung beruang bagi dijadikan cenderahati pada majlis rasmi. - Foto Faris Zainuldin

ANAK patung mainan atau 'soft toys' yang menggunakan perca kain dan kekabu. - Foto Faris Zainuldin
ANAK patung mainan atau 'soft toys' yang menggunakan perca kain dan kekabu. - Foto Faris Zainuldin

Nik Ruhaiyah yang aktif menyertai bazar dan jualan jahitan tangan turut menasihatkan usahawan dalam bidang sama untuk mengembangkan bakat menjahit yang berpotensi menjana pendapatan tambahan.

 

"Jika seseorang itu rajin dan memiliki bakat menjahit, saya sarankan mereka sertai bazar jualan kerana dari situ kita boleh mendapat ilmu untuk mengembangkan bakat seterusnya mampu menjadi usahawan," katanya.

INFO

  • Patung mainan dihasilkan secara jahitan tangan.
  • Diperbuat daripada kain benang panas (Flannel Fiber), manik dan butang pakaian.
  • Mendapat tunjuk ajar jahitan patung dari bengkel dianjurkan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Kelantan.
  • Nik Ruhaiyah turut mengambil upah gubahan pelamin.
Berita Harian X