Rabu, 12 Julai 2017 | 6:06pm
CEK dan telefon bimbit yang dirampas daripada kumpulan along ketika sidang media di Ipoh, hari ini. - Foto L Manimaran
CEK dan telefon bimbit yang dirampas daripada kumpulan along ketika sidang media di Ipoh, hari ini. - Foto L Manimaran

3 ceti haram ditahan

PEMANGKU Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Deputi Superintendan G Moses Govidarajoo menunjukkan cek yang dirampas daripada kumpulan along ketika sidang media di Ipoh, hari ini. - Foto L Manimaran
PEMANGKU Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Deputi Superintendan G Moses Govidarajoo menunjukkan cek yang dirampas daripada kumpulan along ketika sidang media di Ipoh, hari ini. - Foto L Manimaran

IPOH: Polis menahan tiga lelaki termasuk dalang sindiket kegiatan ceti haram atau along semalam selepas dipercayai mengugut seorang pemilik kilang perabot membabitkan wang berjumlah RM743,000 sejak tujuh tahun lalu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Deputi Superintendan G Moses Govidarajoo, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 11 Mei lalu memaklumkan dia diugut seorang lelaki berusia 65 tahun dipercayai dalang utama sindiket berkenaan.

Beliau berkata, mangsa mendakwa ada membuat pinjaman daripada suspek berjumlah RM350,000 antara tahun 2010 hingga 2012 dan berjaya melangsaikan hutang berkenaan sebanyak RM393,000 dua tahun lalu namun masih diugut oleh suspek.

Katanya, bagaimanapun mangsa didatangi suspek bersama lima konconya pada tengah hari Isnin lalu dan mengugutnya supaya menyediakan 10 keping cek dengan setiap satunya berjumlah RM35,000.

"Bimbang keselamatan diri, mangsa membuat laporan polis sebelum suspek bersama dua lagi konco berusia 36 dan 57 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan semalam.

"Suspek berusia 65 tahun dipercayai dalang utama sindiket itu ditahan di sebuah premis perniagaan di Falim di sini pada jam 11 pagi manakala dua lagi suspek ditahan di sebuah premis perniagaan di Batu Gajah empat setengah jam kemudian.

"Dalam dua serbuan itu polis turut merampas 15 keping cek dan sebuah kereta jenis PROTON Satria," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Moses Govindarajoo berkata, ketiga-tiga suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut dan mengesan lima lagi individu dipercayai terbabit dalam sindiket sama.

Katanya, siasatan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Berita Harian X