Rabu, 12 Julai 2017 | 5:55pm

ROS batal pendaftaran MISDEC - SPRM

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sudah membatalkan pendaftaran Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC) ekoran kegagalan menghantar minit mesyuarat agung sejak lapan tahun lalu.

Perkara itu didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan mereka terhadap penyelewengan dana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sejak 2014.

Sumber berkata, MISDEC sudah menerima peruntukan bernilai RM4.5 juta sejak penubuhannya tetapi tiada sebarang program atau latihan yang dikendalikan mereka.

"Malah dalam siasatan juga mendapati, mereka turut melanggar syarat ROS apabila ketiadaan minit mesyuarat sejak lapan tahun lalu. Ini menyebabkan pendaftaran pertubuhan itu dibatalkan.

"Kita juga mengesan, sejak tahun 2012 hingga 2016, Kementerian Sumber Manusia dan Kerajaan Negeri Melaka sudah memberikan peruntukan hampir RM19 juta kepada MISDEC dan sedang menyiasat berapa banyak wang sudah diselewengkan," katanya.

Kelmarin BH melaporkan, dua beranak yang juga pegawai kanan Pusat MISDEC ditahan SPRM untuk siasatan kes menyeleweng kira-kira RM4 juta milik pusat berkenaan.

Mereka masing-masing berusia 76 dan 43 tahun, ditahan dalam satu operasi SPRM Melaka selepas disyaki menyalahguna kuasa untuk melulus serta memindahkan wang milik MISDEC ke akaun lain dalam tempoh 2014 sehingga 2015.

Susulan itu, SPRM sudah merakam percakapan lima individu termasuk lembaga pengarah MISDEC, pegawai Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka dan saksi yang terdiri daripada orang awam.

"Ramai lagi saksi akan dipanggil dan SPRM juga menyiasat sama ada terdapat orang dalam lain yang turut terlibat dalam penyelewengan kedua beranak itu," katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan maklumat itu.

Kedua-dua suspek yang berusia 76 dan 43 tahun yang ditahan itu direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dijatuhi hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

 

Berita Harian X