Isnin, 3 Julai 2017 | 5:16pm

Polis tumpas dua geng pecah rumah

KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya menumpaskan dua kumpulan aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan bangunan sekitar bandar raya ini yang dikenali sebagai `Geng Farah' dan 'Geng Joepy', baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata semua lapan ahli kumpulan itu termasuk seorang wanita ditahan di lokasi berasingan pada 28 dan 29 Jun lalu.

Katanya, tangkapan pertama membabitkan empat ahli kumpulan Geng Farah warga tempatan, termasuk seorang wanita berusia antara 19 hingga 36 tahun.

"Mereka ditahan di dua lokasi berbeza di sekitar Taman Keramat di sini, antara jam 8 malam hingga 10 malam. Wanita ini dipercayai bertindak sebagai dalang dalam semua kes pecah rumah.

"Kami juga percaya wanita ini turut melakukan kegiatan jenayah ini bersama semua suspek. Polis juga sedang mencari seorang lelaki bernama Masrinhy Masazing atau Max, 35, yang juga dipercayai teman lelaki kepada suspek wanita terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Salehhudin Abd Rahman dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra.

Ramli berkata, dua ahli kumpulan Geng Farah itu turut didapati positif dadah jenis syabu manakala dua lagi termasuk wanita berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Nilai rampasan hasil serbuan yang dijalankan di dua lokasi berbeza dianggarkan RM35,000, termasuk sebuah kereta Proton Saga BLM berwarna merah dan barangan elektrik," katanya.

Sementara itu, Ramli berkata pihaknya juga berjaya menumpaskan satu lagi kumpulan pecah rumah yang dikenali sebagai Geng Joepy, yang membabitkan empat lelaki warga tempatan berumur antara 35 hingga 45 tahun di Kampung Lok Kawi dan Lido Square.

"Semua suspek ini didapati positif dadah jenis syabu dan mempunyai rekod jenayah lampau. Hasil siasatan mendapati kumpulan ini terbabit dalam tiga kes pecah rumah dan curi kenderaan di daerah Kota Kinabalu sejak Mac hingga Jun tahun ini.

"Anggaran kerugian bagi semua kes adalah kira-kira RM92,000 dan kami turut merampas sebuah kenderaan Proton Saga, 14 komponen komputer, sebuah televisyen dan 22 rangkai kunci kenderaan pelbagai jenis," katanya.

Berita Harian X