Sabtu, 1 Julai 2017 | 9:32am

Dua wanita cedera diserang suami baran

KUCHING: Dua wanita cedera diserang suami masing-masing dalam dua kes berasingan di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam di Tabuan Laru, seorang peniaga cedera diserang suaminya di luar rumah ibu wanita berkenaan.

Difahamkan, wanita berusia 30 tahun itu tinggal berasingan dengan suaminya yang berusia 30-an sejak tiga bulan lalu kerana tidak tahan dengan sikap panas baran lelaki itu dan sering memukulnya.

Sumber berkata ketika kejadian, suspek dalam keadaan mabuk dan membawa senjata tajam.

Dia dikatakan beberapa kali melibas senjata tajam itu, namun mangsa berjaya mengelak. "Bagaimanapun, dalam pergelutan dengan suspek, mangsa mengalami luka di tangan, kaki dan badan.

"Mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak dan selepas menerima rawatan, dia membuat laporan di Balai Polis Tabuan Jaya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai, yang mengesahkan kejadian itu berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, seorang wanita warga Indonesia turut membuat laporan apabila mengalami kecederaan selepas diserang suaminya, malam kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku di tempat kerja mangsa di sebuah kedai makan di Demak Laut.

Abang Ahmad berkata, selain memukul dan menolak mangsa hingga tersungkur, suspek juga menunjukkan isyarat 'bunuh' menyebabkan mangsa ketakutan.

"Kejadian itu dipercayai berpunca sikap cemburu suspek yang menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

"Suspek berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X