Rabu, 28 Jun 2017 | 2:22pm

Nelayan hilang di Pantai Morib

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menggerakkan usaha mengesan nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Pantai Morib, petang semalam. - Foto ihsan JBPM
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menggerakkan usaha mengesan nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Pantai Morib, petang semalam. - Foto ihsan JBPM

SHAH ALAM: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas hilang ketika keluar menangkap ikan di perairan Pantai Morib, Banting, petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohd Sani Harul berkata, kehilangan Juani Mahat, 61, disedari anaknya, Mohd Salleh, 29, ketika menarik jaring di perairan itu kira-kira jam 5.40 petang semalam.

Katanya, anak mangsa menghubungi polis sebelum pasukan mencari dan menyelamat dikerah mengesan Juani.

"Mangsa dipercayai hilang pada jarak satu batu nautika dari pesisir pantai.

"Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan oleh sembilan anggota JBPM, lima anggota polis, sembilan anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan enam anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

"Turut digerakkan tiga buah bot dan sebuah jentera Bomba serta sebuah balai bergerak bagi mencari mangsa yang beralamat di Rumah Murah Kampung Baru, Rasah," katanya.

Mohd Sani berkata, nelayan tempatan sudah dimaklumkan mengenai insiden itu bagi membantu mengesan mangsa.

Berita Harian X