Isnin, 26 Jun 2017 | 9:21pm
Tasik Dayang Bunting, tempat kejadian Azhar Zaidi (gambar kecil), 15, dari Kampung Belanga Pechah, Mukim Kuah yang ditemui lemas. - Foto HAMZAH OSMAN
Tasik Dayang Bunting, tempat kejadian Azhar Zaidi (gambar kecil), 15, dari Kampung Belanga Pechah, Mukim Kuah yang ditemui lemas. - Foto HAMZAH OSMAN

Remaja lelaki lemas di Tasik Dayang Bunting

LANGKAWI: Seorang remaja yang berenang bersama tiga rakannya di Tasik Dayang Bunting dekat sini, ditemui lemas petang tadi.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, Azhar Zaidi, 15, dari Kampung Belanga Pechah, Mukim Kuah di sini, berenang bersama rakannya sebelum dilihat terkapai-kapai dan tenggelam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hisham Ibrahim, berkata pihaknya tiba di lokasi kejadian kira-kira 40 minit selepas menerima panggilan pada jam 2.10 petang.

Katanya, orang awam memaklumkan ada melihat empat remaja sedang berenang sebelum seorang daripada mereka menjerit meminta tolong.

"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan pencarian menjumpai mangsa pada kedalaman kira-kira 10 meter iaitu dasar tasik terbabit pada jam 2.48 petang.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Difahamkan jenazah mangsa sudah dituntut keluarganya petang tadi untuk urusan pengebumian.

INFO

- Tasik Dayang Bunting adalah tasik air tawar menjadi tumpuan pelancong tempatan dan asing.

- Jarak perjalanan dengan menaiki bot ke Pulau Dayang Bunting daripada jeti Kuah mengambil masa 30 minit.

Berita Harian X