Khamis, 22 Jun 2017 | 6:10pm

Guru, anak maut nahas

NORAIDA Jalil, 37 (gambar kecil), dan anak lelakinya, Ahmad Zahirruddin Ahmad Zaini, 8, maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 50 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Batu 29, Sungai Tong, Permaisuri, hari ini.- Foto Nurul Fatihah Sulaini
NORAIDA Jalil, 37 (gambar kecil), dan anak lelakinya, Ahmad Zahirruddin Ahmad Zaini, 8, maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 50 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Batu 29, Sungai Tong, Permaisuri, hari ini.- Foto Nurul Fatihah Sulaini

PERMAISURI: Seorang guru sekolah rendah dan anak lelakinya maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 50 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Batu 29, Sungai Tong, di sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 1 tengah hari itu, kereta Toyota yang dinaiki mangsa tiga beranak, dipercayai masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan pacuan empat roda jenis Isuzu berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 29.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris, berkata dalam kemalangan itu, mangsa yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Langkap, Noraida Jalil, 37, dan anak lelakinya, Ahmad Zahirruddin Ahmad Zaini, 8, maut di tempat kejadian.

"Seorang lagi anak lelaki mangsa, Ahmad Zafaruddin berumur lima tahun, mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Setiu.

"Seorang penumpang kenderaan pacuan empat roda mengalami patah tulang, manakala lima lagi, termasuk pemandu cedera ringan. Semua menerima rawatan di hospital yang sama," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X