Sabtu, 17 Jun 2017 | 2:58pm

Suami isteri maut, selepas tercampak ke gaung

KEADAAN van jenis Ford Spectron yang dinaiki mangsa dalam kemalangan di Batu Karang, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, awal pagi tadi - Foto Ihsan pembaca
KEADAAN van jenis Ford Spectron yang dinaiki mangsa dalam kemalangan di Batu Karang, Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, awal pagi tadi - Foto Ihsan pembaca

PASIR MAS: Sepasang suami isteri maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas ke dalam gaung akibat tayar pecah di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, dekat Batu Karang, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6.40 pagi itu, rakyat Thailand, Jehsalamae Ma-Ae, 48, dan isterinya warga tempatan, Noorashikin Berahang, 45, tercampak dari kenderaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Anak pasangan terbabit, Mustaqim Jehsalamae, 22, mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad, berkata pihak polis menerima laporan jam 6.40 pagi oleh orang awam mengenai kemalangan maut itu.

"Hasil siasatan awal mendapati tiga beranak yang menaiki van jenis Ford Spextron menghala ke Pasir Mas dari rumah mereka di Rantau Panjang.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar belakang sebelah kiri van terbabit pecah menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke dalam gaung.

"Pemandu dan penumpang tempat duduk hadapan meninggal dunia akibat parah kepala manakala anak mereka hanya cedera ringan," katanya di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, mayat dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat.

Berita Harian X