Selasa, 13 Jun 2017 | 1:43pm
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan sehingga meragut satu nyawa di persimpangan empat Kilometer 37.5 Jalan Kota Bharu- Kuala Terengganu, di sini, awal pagi tadi
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan sehingga meragut satu nyawa di persimpangan empat Kilometer 37.5 Jalan Kota Bharu- Kuala Terengganu, di sini, awal pagi tadi

Lelaki maut selepas tercampak daripada kereta

PASIR PUTEH: Seorang lelaki maut selepas tercampak daripada keretanya akibat merempuh tiang lampu isyarat sebelum terbabas merempuh kereta lain, di persimpangan empat Kilometer 37.5 Jalan Kota Bharu- Kuala Terengganu, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 1.50 pagi itu, mangsa, Mat Syaiful Yusoff, 37, berasal dari Jalan Manan, Pasir Puteh di sini, meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan serius.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Abdul Rozak Mohamad, berkata pihak polis menerima panggilan kecemasan jam 1.55 pagi berhubung kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Iswara dan Kelisa.

Katanya, sebelum kejadian, Proton Iswara yang dipandu mangsa terbabas melanggar tiang lampu isyarat sebelum memasuki laluan bertentangan, lalu berlanggar dengan kereta Kelisa.

"Mangsa tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, patah paha kiri dan patah bahagian dada. Mangsa dihantar di Hospital Tengku Anis (HTA) untuk bedah siasat," katanya di sini, hari ini.

Abdul Rozak berkata, pemandu kereta Kelisa, Amirul Husaini Azhar, 19, berasal dari Kampung Tualang Rendah, di sini hanya mengalami kecederaan ringan di lengan kiri dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di HTA.

Katanya, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati tiada kesan brek, serta jalan lurus dan rata selain ada kerosakan lampu isyarat akibat rempuhan kenderaan dipandu mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustopha, berkata sebuah jentera bomba bersama enam anggota ke lokasi kejadian membantu mengeluarkan mangsa yang terbabit kemalangan.

Katanya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X