Khamis, 8 Jun 2017 | 11:43pm

Anjing pengesan dibawa ke pondok pengawal

 

LANGKAWI: Dua anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digunakan untuk membantu siasatan kes kebakaran pondok pengawal di tapak pelupusan sampah di Jalan Bukit Tembok, dekat Kilim, di sini.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Kebakaran JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Mohamad Yunus Abu, berkata dua anjing jenis English Springer Spaniel diberi nama Geoffrey dan Reilly itu dibawa khusus untuk membantu mengesan saki-baki cecair mudah terbakar bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Siasatan dilakukan bermula jam 10.20 di sekitar kawasan kebakaran, ...selain dua anjing pengesan itu, siasatan turut disertai empat pegawai Bahagian Siasatan Kebakaran dan seorang pegawai penyiasat kebakaran Zon Langkawi serta tiga pegawai dari Unit K-9 dengan dipantau pegawai Unit K9, Pegawai Bomba Kanan I Hamdi Wahab.

"Sebelum ini kita sudah mengambil keterangan daripada mangsa membantu siasatan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam kejadian jam 3.05 pagi hari ini, seorang kanak-kanak lelaki, Mohammad Syukrey Azrey, lapan tahun, ditemui rentung, manakala bapanya, Azrey Ali, 34, melecur di muka dan lengan kiri.

Berdasarkan keterangan bapa mangsa mendakwa kejadian berpunca perbuatan khianat apabila menyedari individu tidak dikenali membaling sesuatu ke arah pondok pengawal berkenaan, sebelum kebakaran berlaku.

 

ANGGOTA Unit K-9 Jabatan Bomba dan Penyelamat menggunakan anjing pengesan bagi mencari bukti kejadian di tapak kebakaran membabitkan pondok pengawal di tapak pelupusan sampah di Jalan Bukit Tembok, dekat Kilim, Langkawi, sebentar tadi. - Foto Hamzah Osman.
ANGGOTA Unit K-9 Jabatan Bomba dan Penyelamat menggunakan anjing pengesan bagi mencari bukti kejadian di tapak kebakaran membabitkan pondok pengawal di tapak pelupusan sampah di Jalan Bukit Tembok, dekat Kilim, Langkawi, sebentar tadi. - Foto Hamzah Osman.

Berita Harian X