Rabu, 7 Jun 2017 | 1:03pm

Warga Argentina bawa kokain RM1.2 juta ditahan

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff menunjukkan dadah disyaki kokain bernilai kira-kira RM1.2 juta yang dirampas daripada suspek lelaki rakyat Argentina, ketika sidang media di Bukit Aman, hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff menunjukkan dadah disyaki kokain bernilai kira-kira RM1.2 juta yang dirampas daripada suspek lelaki rakyat Argentina, ketika sidang media di Bukit Aman, hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rakyat Argentina ditahan bersama dadah jenis kokain bernilai RM1.2 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Tangkapan pada jam 6 petang itu dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menerusi elemen Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING), hasil perkongsian maklumat dengan polis Lapangan Terbang Sao Paulo, Brazil.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata lelaki berusia 38 tahun itu yang mendakwa bekerja sebagai kerani ditahan ketika mengambil bagasi sejurus tiba ke negara ini.

Katanya, pemeriksaan pada beg itu kemudian menemui empat bungkusan kokain seberat 4.8 kilogram yang disorokkan pada bahagian dalam beg terbabit.

"Suspek menempuh perjalanan panjang untuk tiba ke sini dengan menaiki penerbangan dari Brazil, kemudian transit di Lapangan Terbang Bole di Addis Ababa, Habsyah sebelum menuju ke Singapura, seterusnya ke Malaysia.

"Turut dirampas daripada suspek adalah wang tunai AS$4,000," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata, bekalan kokain itu dipercayai untuk pasaran negara jiran.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati suspek masuk ke negara ini sebagai pelancong dan mempunyai dokumen perjalanan sah.

"Ini adalah tangkapan pertama membabitkan warga Argentina. Bekalan dadah yang dibawa mampu menampung permintaan kira-kira 24,000 penagih," katanya.

Katanya, suspek direman seminggu sehingga 12 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Berita Harian X