Isnin, 29 Mei 2017 | 3:43pm

Maut ditetak kerana mencabul

TAWAU: Seorang pekerja ladang warga Indonesia maut selepas ditetak kerana dikatakan cuba mencabul seorang pekerja wanita.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi di Ladang Menggaris, Benta Wawasan itu, mangsa yang dikenali sebagai Yakobus Bala, 38, maut akibat ditetak di kaki. 

Difahamkan, mangsa sebelum itu dikatakan menyerkup kepala wanita itu dari arah belakang menggunakan guni dan memeluknya.

Bagaimanapun, wanita berumur 17 tahun itu berjaya melepaskan diri dan meminta bantuan bapa saudaranya.

Ketua Polis  Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata bapa saudara wanita itu mengejar mangsa yang melarikan diri ke arah kawasan Ladang Menggaris dan berlaku pergelutan antara mereka.

"Suspek bertindak agresif dan menetak kaki mangsa menggunakan parang menyebabkan mangsa rebah dan tidak sedarkan diri. 

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Tawau dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini. 

Fadlil berkata, polis sudah menahan bapa saudara pekerja wanita berkenaan dan merampas sebilah parang panjang dipercayai digunakan dalam pergelutan itu.

"Suspek kini ditahan reman selama seminggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh," katanya. 

Berita Harian X