Khamis, 25 Mei 2017 | 8:01pm

Katak, daun sabung penyambung nyawa

TAN Rarong ditemui selamat oleh pasukan SAR selepas dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu. - Foto Khalid Latip
TAN Rarong ditemui selamat oleh pasukan SAR selepas dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu. - Foto Khalid Latip

BINTANGOR: Seorang warga emas terpaksa bergantung hidup kepada tumbuhan hutan, selain katak liar sebagai 'penyambung nyawa' selepas dilaporkan hilang sejak seminggu lalu.

Mangsa, Tan Rarong, 69, dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran rumah panjangnya, di sini ketika dalam perjalanan ke kebunnya, Jumaat lalu sebelum keluarganya membuat laporan polis.

Mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan kebingungan oleh pasukan penyelamat kira-kira jam 3.35 petang tadi, iaitu pada hari ketujuh operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin, berkata mangsa ditemui tidak jauh dari Pusat Kawalan Operasi SAR di lokasi warga emas itu dilaporkan hilang.

"Mangsa terpaksa diusung keluar dari lokasi kejadian berikutan keadaannya yang terlalu lemah sebelum dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan," katanya.

Katanya, berdasarkan temubual bersama mangsa, warga emas itu terpaksa bergantung hidup kepada daun sabung iaitu sejenis tumbuhan hutan, selain katak liar sepanjang tempoh kehilangannya.

"Operasi SAR turut dibantu pelbagai agensi, termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung," katanya.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kehilangan warga emas itu.

Berita Harian X