Khamis, 25 Mei 2017 | 6:33pm

Polis tahan lelaki kes samun penumpang

SERDANG: Polis menahan seorang lelaki yang juga pemandu perkhidmatan kereta berbayar, semalam selepas disyaki bersubahat menyamun penumpangnya berhampiran One Puchong, Pusat Bandar Puchong, Ahad lalu.

Suspek yang berusia 22 tahun dan berasal dari Kulim, Kedah itu ditahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh, Johor kira-kira jam 11 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Lee Wai Leong, berkata suspek berjaya ditahan hasil hasil risikan polis serta maklumat awam.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau iaitu dadah dan jenayah.

"Usaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas sedang dijalankan.

"Identitinya sudah dikenal pasti hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah stesen minyak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.26 malam itu, seorang jurujual wanita menempah perkhidmatan kereta berbayar untuk pulang ke rumahnya di Bandar Puchong Jaya dari pusat membeli-belah Mid Valley.

Mangsa yang berusia 26 tahun mendakwa tidak perasan ada seorang lagi penumpang di tempat duduk hadapan sehinggalah terdengar pemandu itu bercakap dengan lelaki terbabit ketika dalam perjalanan.

Setibanya di satu kawasan berhampiran One Puchong, Pusat Bandar Puchong tiba-tiba penumpang lelaki terbabit mengacukan pisau ke arah mangsa dan meminta dia untuk menyerahkan barang-barang berharga miliknya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 kanun keseksaan dan suspek direman sehingga Rabu minggu depan.

Berita Harian X