Selasa, 23 Mei 2017 | 2:46pm

Didakwa curi, simpan Mercedes-Benz

DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, kerana didakwa mencuri kereta Mercedes e250, empat jam tangan, serangkai kunci dan sebuah telefon bimbit pada 28 April lalu. - Foto Kkahrulnajib Asarulah KhanKHAIRULNAJIB ASARULAH KHAN
DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, kerana didakwa mencuri kereta Mercedes e250, empat jam tangan, serangkai kunci dan sebuah telefon bimbit pada 28 April lalu. - Foto Kkahrulnajib Asarulah KhanKHAIRULNAJIB ASARULAH KHAN

PORT DICKSON: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri dan menyimpan sebuah kereta mewah serta beberapa barangan lain, bulan lalu.

Wong Yik Mun; 35, dan Chan Yuk Ting; 26, masing-masing menghadapi satu pertuduhan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Siti Khairiah Abdul Razak.

Mengikut pertuduhan, Yik Mun didakwa menceroboh sebuah rumah di Bandar Dataran Segar, Lukut di sini, dan mencuri sebuah kereta Mercedes-Benz E250, empat utas jam tangan, serangkai kunci dan sebuah telefon bimbit pada jam 10.55 pagi, 28 April lalu.

Yuk Ting pula didakwa menyimpan sebuah kereta Mercedes-Benz dan kunci kereta itu serta tiga utas jam tangan di sebuah kondominium di Bandar Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor, kira-kira jam 10.30 malam, 29 April lalu.

Yik Mun didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana menceroboh rumah dan mencuri yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 14 tahun dan denda.

Yuk Ting didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan harta curi yang memperuntukkan hukuman hingga lima tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, A Ashwini, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Siti Khairiah menetapkan ikat jamin RM4,800 dan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, manakala 19 Jun ini ditetapkan bagi sebutan semula kes.

Berita Harian X