Jumaat, 5 Mei 2017 | 3:15pm

Katrij tiruan bernilai RM600,000 dirampas

ANTARA katrij yang dirampas penguat kuasa KPDNKK di enam premis sekitar Klang, Selangor. - Foto ihsan KPDNKK.
ANTARA katrij yang dirampas penguat kuasa KPDNKK di enam premis sekitar Klang, Selangor. - Foto ihsan KPDNKK.

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas katrij tiruan bernilai RM600,000 dalam serbuan di enam premis di sekitar Klang, Selangor, kelmarin.

Bahan tiruan itu adalah katrij mesin pencetak yang sudah diguna pakai tetapi diisi semula dengan dakwat dan dijual seperti produk baharu di pasaran.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin, berkata operasi membabitkan 20 anggota penguat kuasa KPDNKK dan wakil pemilik cap dagang itu, dengan 17,000 katrij tiruan dirampas.

"Hasil risikan tiga bulan selepas menerima aduan daripada pemilik cap dagang, kami menyerbu enam premis dan menemui banyak katrij tiruan yang diisi semula menggunakan logo syarikat terkenal.

"KPDNKK turut merampas 3,000 pelekat jenama terkemuka dipercayai untuk ditampal pada katrij terbabit," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Roslan berkata, selain katrij dan pelekat, pihaknya merampas 27,000 kotak kosong dipercayai digunakan untuk membungkus katrij tiruan sebelum diedar untuk pasaran di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya, lapan pekerja leka mengisi dakwat ke dalam katrij tiruan di premis berkenaan ketika serbuan dilakukan.

"KPDNKK sudah mengambil keterangan semua pekerja terbabit bagi membantu siasatan dan usaha memburu dalang utama sindiket ini masih diteruskan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(a) Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menjual semula barangan palsu.

Berita Harian X