Sabtu, 29 April 2017 | 1:02pm

3 pelajar lemas ketika perkhemahan sekolah

LOKASI tiga mangsa ditemui lemas di sebuah resort di Membakut, pagi tadi. - Foto Ihsan JBPM Sabah
LOKASI tiga mangsa ditemui lemas di sebuah resort di Membakut, pagi tadi. - Foto Ihsan JBPM Sabah

BEAUFORT: Tiga pelajar Tingkatan Empat dan Lima, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan, ditemui lemas ketika menyertai program perkhemahan di sebuah resort di Membakut, di sini, pagi tadi.

Hafiz Hamizan Rahman, 16; Daniel Norman, 16, dan Khuzaimi Zakaran, 17 ditemui guru pengiring ketika sedang menjalankan aktiviti di sekitar resort berkenaan pada jam 9.30 pagi, sebelum dibawa ke hospital berhampiran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Runzee Abdul Thani, berkata sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas menerima panggilan pada jam 9.40 pagi.

"Ketika bomba tiba, mangsa sudah ditemui dan seorang dibawa ke Hospital Beaufort, manakala dua lagi mangsa ke Klinik Kesihatan Membakut untuk rawatan lanjut dengan ketiga-tiga dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pasukan bomba seterusnya membuat pemantauan di lokasi untuk memastikan tiada mangsa lain yang terbabit," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Difahamkan, seramai 120 pelajar dan 30 guru pengiring menyertai program perkhemahan berkenaan.

Berita Harian X