Rabu, 26 April 2017 | 10:10am

Seorang lagi mangsa maut

KEADAAN kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Pasir Besar-Rompin, dekat Gemas, semalam. -Foto ihsan Bomba
KEADAAN kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 12 Jalan Pasir Besar-Rompin, dekat Gemas, semalam. -Foto ihsan Bomba

GEMAS: Seorang lagi mangsa kemalangan di Kilometer 12, Jalan Pasir Besar-Rompin, dekat bandar ini, semalam, meninggal dunia malam tadi.

Ia menjadikan semuanya tiga beradik maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta jam 5.23 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak, berkata K Vharshiena, 11, meninggal dunia pada jam 9.45 malam tadi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah.

Katanya, abang mangsa Dhaneshwar, 14 dan adik perempuannya Dhenissha, 9, meninggal dunia di lokasi kejadian, petang semalam.

"Ibu mereka, Thavamani, 36, dan seorang lagi adik mangsa Nareshwar, 7, yang cedera masih menerima rawatan HTAN," katanya di sini, hari ini.

Hamazah berkata, mayat tiga beradik itu akan dibedah siasat di Hospital Tampin di sini, pagi ini.

Dalam kejadian petang semalam, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan sebelum bergesel dengan sebuah kereta lain.

Berita Harian X