Ahad, 23 April 2017 | 12:48pm

Laporkan penipuan walau kerugian kecil

DATUK Acryl Sani Abdullah Sani (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara pemangku Ketua Polis Terengganu, YDH DCP Datuk Aidil Ismail (kanan) dan Bekas Ketua Polis Terengganu, YDH CP Datuk Rosli Ab Rahman (kiri) pada majlis Perhimpunan Bulanan dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
DATUK Acryl Sani Abdullah Sani (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara pemangku Ketua Polis Terengganu, YDH DCP Datuk Aidil Ismail (kanan) dan Bekas Ketua Polis Terengganu, YDH CP Datuk Rosli Ab Rahman (kiri) pada majlis Perhimpunan Bulanan dan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Sindiket penipuan dalam talian dikesan menggunakan laman sesawang terkemuka seperti mudah.my dan lelong.my sebagai perantara untuk 'menghidangkan' barangan yang tidak wujud dengan harga murah.

Taktik licik yang hanya menyasarkan perolehan pulangan antara RM50 hingga RM60 untuk setiap pembeli itu bagaimanapun membantu sindiket berkenaan meraih keuntungan puluhan juta akibat sikap culas orang ramai melaporkan penipuan berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acry Sani Abdullah Sani, berkata pihaknya mendapati amalan membeli dan menjual barangan di internet sudah menjadi rutin rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini.

Justeru katanya, amalan itu dijadikan modal sindiket penipuan atas talian untuk mengaut keuntungan mudah dengan menempatkan barangan tidak wujud di beberapa laman sesawang yang dikenal pasti paling banyak digunakan rakyat Malaysia untuk berurus niaga.

Apa yang merunsingkan pihak JSJK adalah keengganan pembeli yang tertipu melaporkan kes penipuan dengan alasan mereka hanya kerugian kecil.

"Kebanyakan mereka tidak membuat laporan kerana pada mereka wang itu tidak akan diperoleh kembali.

"Namun, dengan laporan itu, JSJK boleh mengesan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sindiket berkenaan," katanya selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Terengganu, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Acryl Sani menyaksikan penyerahan tugas daripada bekas Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Abd Rahman yang bertukar jawatan menjadi Ketua Polis Pahang kepada Ketua Polis Terengganu baharu, Datuk Aidi Ismail.

Mengulas lanjut taktik sindiket penipuan barangan dalam talian itu, Acryl berkata, selain laman sesawang mudah.my dan lelong.my, kumpulan terbabit dikesan mempromosikan barangan mereka melalui aplikasi WhatsApp dan laman sesawang sendiri.

Polis memandang serius kegiatan itu kerana sejak beberapa tahun lalu, lebih 100 laporan diterima setiap minggu.

"Kita nasihatkan orang ramai yang pernah menjadi mangsa taktik sebegini untuk melaporkan kejadian supaya polis dapat mengambil tindakan sekali gus mengelak ia berlaku kepada mangsa lain," katanya.

Berita Harian X