Jumaat, 21 April 2017 | 12:01pm

Penganggur didakwa bunuh bapa

KANGAR: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar, di sini, hari ini atas tuduhan membunuh bapanya di sebuah rumah di Jalan Padang Melangit, dekat Beseri, Jumaat lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Amirul Amin Amran, 24, ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Azhar Hamzah.

Mengikut pertuduhan, Amirul didakwa membunuh bapanya, Amran Ariffin, 53, antara jam 7.20 pagi hingga 7.30 pagi pada 14 April lalu, di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 4 1/2 Lorong Maqdis, Jalan Padang Melangit, dekat Beseri.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh mengangguk tanda faham tanpa sebarang pengakuan direkodkan.

Mohd Azhar kemudian menetapkan 17 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Selain itu, Amirul yang diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim di mahkamah sama turut didakwa secara berasingan atas kesalahan cuba membunuh diri menggunakan pisau di tempat dan tarikh sama, mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Tiada pengakuan direkodkan bagi kesalahan itu.

Berita Harian X