Rabu, 19 April 2017 | 5:27pm

12 bot bantu cari nelayan hilang

TANJONG KARANG: Usaha mencari dan menyelamat (SAR) seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya karam dipukul ombak besar di perairan Bagan Pasir, pagi semalam, diteruskan hari ini.

Azmi Abbas. - Foto Suzaini Sulaiman
Azmi Abbas. - Foto Suzaini Sulaiman

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Azmi Abbas berkata sebanyak 12 bot pelbagai agensi dan nelayan terbabit dalam operasi SAR itu, namun setakat ini belum menemui petunjuk baharu.

"Masing-masing adalah sebuah bot milik Bomba dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), manakala Pasukan Polis Marin dan nelayan masing-masing lima bot. 

"Seramai 27 anggota pelbagai agensi dengan dibantu 25 nelayan terbabit dalam SAR yang bermula sejak 9 pagi tadi.

"Lokasi pencarian ialah pada jarak 3.8 batu nautika dari perairan Bagan Pasir, lokasi bot nelayan ini dilaporkan karam dan kawasan pesisir pantai muara Sungai Kajang," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Kawalan Operasi di Jeti Bagan Pasir di sini, hari ini.

Semalam, seorang nelayan dilaporkan hilang manakala dua rakannya selamat selepas bot mereka karam dilanda ribut dan ombak besar kira-kira jam 9.10 pagi.

Nelayan yang hilang itu dikenali sebagai Ah Hua, berusia lingkungan 50-an.

Dua lagi rakannya Lim Ching Chong, 46, dan Teoh Eng Chuan, 56, terselamat apabila dibantu nelayan lain yang kebetulan berada di kawasan berhampiran.

Berita Harian X