Sabtu, 15 April 2017 | 3:23pm

Suspek bunuh bapa akan jalani ujian psikiatri

PADANG BESAR: Suspek yang menetak mati bapa kandung menggunakan parang, di Batu 4 1/2 Jalan Padang Melangit, di sini, pagi semalam, akan menjalani ujian psikiatri dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Ghazani Abd Ghani, berkata suspek berusia 24 tahun itu akan menjalani ujian berkenaan sejurus sembuh daripada kecederaan yang dialaminya.

"Suspek masih menjalani rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), dekat Kangar susulan kecederaan di perut akibat tindakannya mencederakan diri sendiri.

"Kita sedang memantau situasi terkini kesihatan penganggur berkenaan sebelum tindakan selanjutnya seperti proses menyoal siasat suspek," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Ghazani turut mengesahkan ujian air kencing suspek masih belum diambil susulan kecederaan yang dialami lelaki itu bagi mengetahui sama ada suspek berada dalam pengaruh dadah atau tidak ketika kejadian.

BH hari ini melaporkan, seorang anak menetak bapanya menggunakan parang sehingga mati kerana tidak berpuas hati selepas permintaan untuk memperoleh wang tidak ditunaikan.

Suspek yang baru pulang dari ibu negara itu menetak bapanya beberapa kali di bahagian perut, belakang badan dan tangan kanan sehingga menyebabkan perut mangsa terburai dan salah satu jari kanan putus.

Suspek kemudian bertindak menikam perutnya sendiri sebelum ditahan polis sekitar jam 8 pagi di dalam rumah neneknya yang terletak kira-kira 60 meter dari lokasi kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.

Berita Harian X