Sabtu, 15 April 2017 | 12:37am

Pukul, larikan depan rumah

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohammad Aminudin Megat Alias.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohammad Aminudin Megat Alias.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bernasib baik kerana berjaya melarikan diri daripada tahanan sekumpulan 10 lelaki yang melarikannya dari rumahnya di Taman Kinrara, Puchong, dekat sini, awal pagi semalam.

Lelaki berusia 21 tahun itu hanya sempat ditahan tiga jam selepas dia dilarikan sekitar jam 3.15 pagi di satu kawasan di Sungai Way.

Kumpulan lelaki terbabit datang ke rumah mangsa dengan dua kereta sebelum memanggil dia keluar, memukulnya sebelum dilarikan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohammad Aminudin Megat Alias, berkata ketika kejadian, suspek yang menaiki PERODUA Myvi berwarna putih dan PROTON Waja berwarna kelabu, dilaporkan datang ke rumah mangsa.

"Mereka kemudian memanggil mangsa keluar dari rumahnya sebelum dia dipukul di hadapan rumah dan ditarik masuk ke dalam kereta Proton Waja," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Beliau berkata, polis kemudian dimaklumkan mangsa ditemui dengan kesan kecederaan di kepala dan tubuh namun dalam keadaan stabil.

"Mangsa sedang dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), sebelum polis mendapatkan maklumat bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian berkenaan selain mengesan kesemua suspek," katanya.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan atas kesalahan menculik dan Seksyen 326 kanun sama atas kesalahan mendatangkan kecederaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang ditalian 03-80742222 bagi membantu siasatan.

 

Berita Harian X