PADANG BESAR: Seorang kontraktor maut selepas ditetak beberapa kali dengan parang oleh anaknya yang dipercayai penagih dadah di sebuah rumah di Batu 4 1/2 Jalan Padang Melangit di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, suspek berusia 24 tahun berkenaan dipercayai menetak bapanya selepas tidak berpuas hati kerana gagal memperoleh wang membeli dadah sejak petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Superintendan Azahar Muda, berkata mangsa berusia 53 meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suspek ditahan jam 8 pagi tadi.
"Suspek ditahan di rumah neneknya kira-kira 60 meter dari kediaman bapanya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.