Rabu, 5 April 2017 | 2:16pm

Kakak bimbang adik, rakan tidak pulang dari Jakarta

KAMAROL Arifin Mohamad Darus (kiri) dan Mohd Shafa Ahmad di klia2 sebelum berlepas ke Jakarta pada Khamis tetapi tidak pulang pada hari sepatutnya mereka balik pada Ahad menyebabkan keluarga bimbang.
KAMAROL Arifin Mohamad Darus (kiri) dan Mohd Shafa Ahmad di klia2 sebelum berlepas ke Jakarta pada Khamis tetapi tidak pulang pada hari sepatutnya mereka balik pada Ahad menyebabkan keluarga bimbang.

KUALA LUMPUR: Dua warga Malaysia didakwa hilang di Jakarta, Indonesia selepas tiba ke negara itu, Khamis lalu untuk menonton sebuah konsert di sana.

Kamarol Arifin Mohamad Darus, 27, dan rakannya, Mohd Shafa Ahmad, 29, kedua-duanya berasal dari Kampung Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Selangor berlepas ke Jakarta menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Khamis lalu.

Kakak Kamarol Ariffin, Junaina, 33, khuatir dengan keselamatan adik serta rakannya itu kerana tidak menerima sebarang khabar berita daripada mereka selepas kedua-duanya tidak muncul di klia2, Ahad lalu.

"Mereka sepatutnya berada di Jakarta selama empat hari dan sepatutnya sampai dengan penerbangan dari Jakarta pada jam 11 malam, Ahad lalu.

"Namun selepas lebih empat jam menunggu, mereka tidak muncul menyebabkan saya bimbang dan membuat satu laporan polis di Balai Polis klia2 sebelum melakukan semakan di kaunter imigresen.

MANGSA yang hilang di Jakarta. Kamarol(kiri) dan Mohd Shafa.
MANGSA yang hilang di Jakarta. Kamarol(kiri) dan Mohd Shafa.

"Semakan mendapati mereka memang berlepas ke Jakarta kira-kira jam 2.15 petang dan tiba di sana Khamis lalu, bagaimanapun tiada rekod menunjukkan mereka pulang ke Malaysia," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Menurut Junaina, Kamarol Ariffin yang lebih mesra dipanggil Boboy oleh keluarga Mohd Shafa sepatutnya menonton konsert berkenaan bersama enam lagi rakan lain, namun mereka menaiki penerbangan berasingan pada Jumaat.

"Rakannya yang lain memaklumkan tidak berjumpa dengan Kamarol Ariffin dan Mohd Shafa sebaik tiba di Jakarta seperti yang dijanjikan dan mereka berdua juga tidak mendaftar masuk ke hotel yang mereka tempah.

"Kali terakhir saya bersamanya Khamis lalu dia cuma berpesan supaya tidak lupa untuk menunggunya pulang di klia2 pada hari Ahad, tiada apa yang pelik dengan kelakuannya, cuma dia teruja untuk bercuti ke Jakarta," katanya.

Katanya lagi, dia dan keluarganya melakukan pelbagai usaha dengan melaporkan perkara itu kepada pihak Wisma Putra serta kedutaan Malaysia di Indonesia serta kedutaan Indonesia di sini.

"Hari ini saya terima panggilan telefon daripada pihak kedutaan Indonesia memaklumkan rekod pasport menunjukkan adik saya dikesan mendaftar masuk di Johor semalam, namun jika benar dia sudah pulang ke Malaysia, mengapa sehingga kini dia masih tidak menghubungi saya atau pulang ke rumah?

"Kami buntu memikirkan apa sebenarnya berlaku, namun saya minta semua pihak doakan keselamatan adik saya dan Mohd Shafa dan sehingga kini kami sekeluarga masih menunggu sebarang perkembangan," kata Junaina lagi.

Junaina berkata mereka juga tidak menerima maklumat mengenai dakwaan adiknya dan rakan itu

dirompak.

Difahamkan, Kamarol Ariffin yang masih bujang dan bekerja sebagai penghantar surat di Klang ke Jakarta untuk menonton konsert 'Armin Only Embrance World Tour' oleh DJ Armin Van Buuren di Jiexpo Kemayoran, Jakarta yang berlangsung pada Jumaat malam.

Berita Harian X