Isnin, 3 April 2017 | 3:09pm

Lelaki serang polis selepas tikam isteri mati ditembak

ANGGOTA polis mengangkat mayat seorang lelaki warga Filipina yang ditembak polis kerana menyerang anggota polis dengan pisau ketika cuba ditenangkan selepas menikam isterinya dalam kejadian di Kampung Pondo, dekat Pulau Gaya, Kota Kinabalu, petang semalam. - Foto Mohd Adam Arinin
ANGGOTA polis mengangkat mayat seorang lelaki warga Filipina yang ditembak polis kerana menyerang anggota polis dengan pisau ketika cuba ditenangkan selepas menikam isterinya dalam kejadian di Kampung Pondo, dekat Pulau Gaya, Kota Kinabalu, petang semalam. - Foto Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Polis menembak mati seorang lelaki warga Filipina kerana menyerang anggota polis dengan pisau ketika cuba ditenangkan selepas menikam isterinya dalam kejadian Kampung Pondo, dekat Pulau Gaya, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, anggota Balai Polis Pulau Gaya menerima maklumat suspek berusia 30-an telah menikam isterinya berusia 27 tahun di perut dalam satu pertengkaran di rumah mereka sebelum mangsa dihantar ke hospital oleh jiran.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata susulan maklumat itu, lapan anggota bergegas ke lokasi cuba memujuk suspek yang masih memegang sebilah pisau untuk menyerah diri, namun lelaki terbabit mengugut untuk mencederakan polis yang mahu menangkapnya, selain akan mencederakan diri sendiri jika didekati.

Katanya, suspek kemudian cuba menyerang seorang anggota polis yang berada di atas jambatan kecil sambil melibas pisau ke arahnya serta mengeluarkan kata-kata ugutan 'aku bunuh kau'.

"Anggota polis terbabit terjatuh ke laut dalam usaha menyelamatkan diri, namun suspek dengan pisau di tangan kanannya terjun ke laut dan terus mengejar anggota berkenaan menyebabkan seorang lagi anggota polis yang berada di atas bot mengeluarkan amaran beberapa kali kepada suspek supaya menyerah diri.

"Suspek tidak mengendahkannya, malah terus mengejar anggota polis terbabit di dalam laut dengan kedalaman sehingga paras peha dengan jarak kira-kira satu meter.

"Bagi menyelamatkan nyawa anggota polis terbabit, seorang lagi anggota polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah suspek sebelum lelaki itu rebah akibat kecederaan pada bahagian belakang badan.

"Suspek kemudian dibawa menaiki bot untuk dikejarkan ke hospital, namun ketika tiba di Pangkalan Pasukan Polis Marin (PPM) di sini, pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) kira-kira jam 6.30 petang mengesahkan dia telah meninggal dunia," katanya di sini, hari ini.

Chandra berkata, siasatan awal polis mendapati suspek bertindak demikian kerana cemburu selepas mengesyaki isterinya ada hubungan sulit dengan lelaki lain ketika ketiadaannya di rumah.

"Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong sayur berukuran 12 inci dan gunting di tempat kejadian," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Berita Harian X